Mampukah Al-Qaeda kembali digeruni?

Iklan
Kumpulan Al-Qaeda terkenal kerana pernah melakukan serangan ke atas dua bangunan World Trade Centre di New York dengan menggunakan dua buah pesawat sehingga mengorbankan kira-kira hampir 3,000 orang pada 11 September 2001. - Foto AFP

DUA anggota utama Al-Qaeda dalam tempoh beberapa bulan lalu dipercayai telah meninggal dunia sekali gus mencetuskan persoalan tentang strategi dan kekuatan rangkaian itu yang sebelum ini melakukan sejumlah serangan ganas sejak dua dekad lalu.

Baru-baru ini, akhbar New York Times melaporkan bahawa Timbalan Ketua Al-Qaeda, Abdullah Ahmad Abdullah yang mempunyai nama jolokan sebagai Abu Muhammad al-Masri dibunuh secara rahsia di Tehran pada Ogos lalu oleh dua ejen Israel atas permintaan Amerika Syarikat (AS).

Iklan
Iklan

Dalam pada itu, pakar-pakar terkenal mengenai Al-Qaeda telah memetik sumber-sumber yang menyatakan Ayman al-Zawahiri yang menggantikan Osama bin Laden sebagai ketua rangkaian tersebut juga meninggal dunia.

Osama sebelum ini dikatakan menjadi dalang dalam serangan pengganas pada 11 September 2001 sehingga mengakibatkan dua bangunan World Trade Centre (WTC) di New York dirempuh dua buah pesawat yang dirampas dan mengorbankan kira-kira hampir 3,000 orang manakala lebih 6,000 lagi cedera.

Iklan

Namun, Osama mati dibunuh dalam satu operasi khas Pasukan Tentera Laut, Udara dan Darat yang dikenali sebagai Tentera Laut SEAL AS pada 2 Mei 2011 di Abbottabad, Pakistan.

Iran bagaimanapun, menafikan Abdullah mati dibunuh manakala Al-Qaeda tidak mengeluarkan sebarang pengesahan menerusi saluran media sama ada al-Zawahiri sudah meninggal dunia.

Iklan

Justeru, timbul persoalan berhubung masa depan Al-Qaeda kerana ia berbeza dengan kumpulan-kumpulan yang menggunakan namanya dan berkembang di sekitar seluruh dunia sehingga mencetuskan ketakutan ketika berada di bawah kepimpinan Osama.

Kematian Osama yang merupakan warga Arab Saudi menyebabkan Al-Qaeda dikatakan berada dalam kepimpinan al-Zawahiri iaitu seorang warga Mesir.

Namun, kematian al-Zawahiri sehingga kini masih belum disahkan.

Pengarah Pusat Untuk Dasar Global, Hassan Hassan mendakwa, al-Zawahiri telah meninggal dunia bulan lalu akibat sebab-sebab semula jadi.

Rita Katz iaitu Pengarah laman web pemantau kumpulan-kumpulan jihad iaitu SITE berkata, laporan yang tidak disahkan menyatakan al-Zawahiri sudah pun meninggal dunia.

Bagaimanapun, ia bukannya kali pertama terdapat laporan bahawa al-Zawahiri telah meninggal dunia.

"Agensi-agensi perisikan percaya al-Zawahiri kini berada dalam keadaan yang sakit," kata Profesor Barak Mendelsohn iaitu penulis beberapa buah buku mengenai Al-Qaeda dan perjuangan jihad serta bertugas di Kolej Haverford di AS.

Ketua Kumpulan Al-Qaeda Ayman al-Zawahiri dipercayai telah meninggal dunia pada bulan lalu. - Foto AFP

"Pada dasarnya, jika tidak berlaku ketika ini (al-Zawahiri meninggal dunia), ia akan berlaku tidak lama lagi," kata Mendelsohn kepada AFP.

Jika kedua-dua lelaki tersebut sudah meninggal dunia, kumpulan Al-Qaeda kini tidak lagi boleh dibandingkan dengan Al-Qaeda yang pernah melakukan serangan pada 11 September 2001 di AS, kata beberapa penganalisis.

Ketika itu, ideologi kumpulan tersebut berkembang hampir ke seluruh dunia dengan kumpulan-kumpulan jihad menggunakan nama Al-Qaeda termasuk di wilayah Sahel di Afrika, Pakistan, Somalia, Mesir dan Yemen.

Pada awalnya, Al-Qaeda bermula sebagai sebuah kumpulan logistik bagi menyokong perjuangan penduduk Muslim menentang Kesatuan Soviet yang kini sudah dibubarkan dan kini lebih dikenali sebagai Rusia semasa perang Afghanistan.

Anggota-anggotanya datang dari dunia Islam.

Apabila Kesatuan Soviet berundur dari Afghanistan pada tahun 1989, anggota-anggota pertubuhan itu berselerakan tetapi meneruskan perjuangan menentang apa yang diperkatakan oleh para pemimpinnya sebagai rejim korup Islam dan melawan kehadiran tentera asing seperti AS di tanah air Muslim.

Pada awal tahun 1990an, ia berpangkalan di Sudan sebelum ibu pejabatnya diwujudkan di Afghanistan di bawah naungan kumpulan Taliban.

Rangkaian Al Qaeda itu kemudian melakukan sejumlah serangan yang terkenal dalam sejarah antaranya ialah pengeboman di Kedutaan AS di Nairobi, Kenya dan Daer es Salaam, Tanzania.

Ia juga melancarkan serangan ke atas sebuah kapal perang AS, USS Cole di Aden, Yemen dan serangan 11 September 2001 di AS.

Kini, seorang penganalisis percaya salah seorang calon berpotensi untuk memimpin Al-Qaeda ialah Saif al-Adel iaitu seorang bekas pegawai tentera berpangkat leftenan kolonel dalam tentera Mesir yang menyertai kumpulan Jihad Islam Mesir pada tahun 1980an.

Gambar fail menunjukkan Saif al-Adel yang merupakan bekas pegawai kanan tentera Mesir dan dikatakan berpotensi menjadi Ketua kumpulan Al-Qaeda. - Foto AFP

Beliau pernah berada di Afghanistan untuk bertempur dengan tentera Kesatuan Soviet.

Menurut kumpulan pemikir Projek Bagi Menangani Ekstremis (CEP), beliau ditangkap di Iran pada tahun 2003 dan dibebaskan pada tahun 2015 dalam pertukaran banduan antara Iran dengan Al-Qaeda.

Antara tahun 1989 hingga 1992, Adel dipercayai berkhidmat untuk kumpulan Al-Qaeda yang baharu ditubuhkan oleh Osama.

Beliau dipercayai masih berada di Iran pada tahun 2018 dan sebagai salah seorang timbalan al-Zawahiri.

"Adel memainkan peranan penting dalam membina operasi Al-Qaeda dan meningkat naik dengan cepat dalam hierarki kumpulan itu," kata CEP.

Dalam pada itu, Mendelsohn merupakan nama besar dalam pergerakan tersebut.

Beliau juga menegaskan bahawa Adel bersama Abdullah menghabiskan masa bersembunyi di Iran.

"Saya tidak pasti sekuat mana kedudukannya di dalam Al-Qaeda terutamanya selepas golongan lama kepimpinan (kumpulan Al-Qaeda) telah meninggal dunia," tambahnya kepada AFP. - Agensi