DANA Persatuan Ibu Bapa dan guru (PIBG) untuk melaksanakan sebarang program atau membaiki infrastruktur sekolah sentiasa tidak mencukupi kerana sikap ibu bapa yang enggan memberikan sumbangan.
Yang Dipertua PIBG SK Seksyen 27 (2), Mohd Zamri Mohd Yusoff berkata, ia akan menyebabkan PIBG tidak dapat menyediakan lebih banyak aktiviti selain menyebabkan pelajar tidak dapat belajar dalam persekitaran selesa kerana masalah infrastruktur.
"Untuk tahun lalu sahaja kami belanjakan RM20,000 untuk membaiki tandas kerana pelajar mengadu tandas rosak dan kotor. Disebabkan kami dah belanjakan untuk baiki tandas, maka, program untuk pelajar tak dapat kami laksanakan.
"Dalam keadaan ini, pelajar yang akan rugi kerana tiada pengisian program dapat kita buat untuk pelajar," katanya.
Menurutnya, untuk tahun lalu, kurang daripada 60 peratus daripada 600 keluarga yang menyumbang kepada tabung PIBG.
"Kami juga sedang memikirkan untuk membuat pintu keempat di hadapan kawasan sekolah bagi mengelakkan kesesakkan yang berlaku setiap pagi di pintu utama sekolah.
"Namun, apa yang menjadi masalah, ialah kami kekurangan dana dengan anggaran kira-kira RM20,000 diperlukan untuk memastikan ia dapat dilaksanakan. Saya fikir jika semua ibu bapa membuat sumbangan, tiada masalah untuk memastikan pintu itu berjaya dibina dan sekali gus memudahkan ibu bapa dan pelajar juga," katanya.
Justeru, beliau menasihati ibu bapa untuk sentiasa membuat sumbangan dan tidak perlu risau dengan duit yang disumbangkan itu kerana PIBG mempunyai juru audit.
"Memang PIBG menghabiskan duit, tetapi kami menghabiskan duit untuk pelajar. Kita akan gunakan sepenuhnya duit tersebut selain lebih senang untuk kami bagitahu ibu bapa kemana duit itu dibelanjakan," katanya.