WASHINGTON - Tiga senator Amerika Syarikat (AS) semalam berusaha untuk menyekat jualan jet-jet pejuang F-35 buatan negara itu kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan menyuarakan kebimbangan bahawa jualan itu adalah sebagai satu ganjaran kerana UAE menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.
Malah jika tiga senator tersebut berjaya mempengaruhi majoriti ahli Kongres AS untuk menentang pakej jualan jet itu yang bernilai AS$23 bilion (RM94.22 bilion), mereka mungkin berhadapan dengan kuasa veto daripada Presiden negara berkenaan, Donald Trump.
Senator Chris Murphy yang rapat dengan bakal Presiden AS, Joe Biden berkata, dalam satu kenyataan seperti dilaporkan AFP:"Saya menyokong normalisasi hubungan antara Israel dengan UAE tetapi tidak ada dalam perjanjian itu (perjanjian hubungan diplomatik antara Israel dengan UAE) memerlukan kita untuk menghantar wilayah tersebut dengan lebih banyak senjata serta kemudahan."
Beliau menaja resolusi menyekat penjualan itu bersama Robert Menendez iaitu anggota ternama parti Demokrat yang juga anggota Jawatankuasa Hubungan Asing Dewan Senat AS dan Rand Paul iaitu seorang anggota Republikan.
Paul ialah penyokong Trump tetapi tidak berminat dengan tindakan campur tangan ketenteraan AS di negara asing.
Pada minggu lalu, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo secara rasmi memberitahu Kongres AS tentang jualan jet-jet tersebut dan memuji hubungan antara UAE dengan Israel serta menyatakan penjualan tersebut adalah sebagai usaha untuk menghadapi Iran.
Iran dianggap sebagai musuh AS, UAE dan Israel.
Sebelum ini, UAE telah lama meminta pembelian jet F-35 yang mampu mengelak radar dan melakukan pengeboman secara tepat digunakan untuk tujuan perisikan serta bertempur di udara diluluskan.
Trump dilaporkan mahu menjual 50 jet F-35 buatan firma Lockheed Martin kepada UAE.
Kongres AS pada tahun lalu cuba untuk menyekat satu pakej penjualan senjata untuk Arab Saudi dan UAE tetapi gagal untuk mendapatkan sokongan majoriti dua pertiga daripada anggota-anggotanya. - Agensi