MELAKA - Kerajaan negeri akan membentuk jawatankuasa khas bagi menangani haiwan perosak hidupan liar terutama babi hutan yang semakin membimbangkan di Melaka.
Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, penubuhan jawatankuasa itu sebagai langkah keseriusan Melaka bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Perhilitan untuk menangani masalah itu memandangkan sebanyak 130 aduan orang awam terhadap kes babi hutan telah direkodkan bermula dari Januari hingga Oktober tahun ini.
Menurutnya, setakat ini sebanyak 1,016 ekor babi ditangkap dalam Operasi Hapus Babi Hutan (Ops Siong) dan daripada jumlah itu Daerah Melaka Tengah mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 484 ekor dihapuskan diikuti Jasin (341) dan Alor Gajah (191).
Katanya, bertepatan dengan jawatankuasa itu Jabatan Perhilitan sebagai urusetia akan bergerak dengan agensi berkaitan seperti Persatuan Penembak Negeri Melaka, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sebagainya menerusi operasi besar-besaran dalam tempoh sebulan bagi mengurangkan populasi haiwan perosak di seluruh Melaka terutama di kawasan pertanian.
"Kita akan mempromosikan kempen menghapuskan hidupan liar dan operasi bersepadu ini juga akan mendapat kelulusan pihak polis.
"Contohnya di Sungai Rambai, kita terima banyak aduan daripada peladang pekebun yang mengusahakan tanaman pisang, walaupun operasi ini tidak dapat diselesaikan secara total namun dapat kurangkan nisbah populasinya," kata beliau dalam sidang akhbar di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Norhizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu berkata, untuk merealisasikan operasi bersepadu itu memerlukan peruntukan yang besar iaitu kira-kira RM941,000 termasuk 100 unit perangkap babi hutan, peluru peralatan pengurusan, umpan penangkap selain perangkap kera dan perangkap ular yang menelan kos dari RM600 hingga RM1,800 seunit.
"Kita akan memohon kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk membantu dari segi kos operasi bagi merealisasikan jawatankuasa khas ini," katanya.