SHAH ALAM – Individu yang mempunyai tahap kesihatan yang baik adalah penyumbang kepada kukuhnya kuasa ekonomi sesebuah keluarga dan negara.
Profesor Ekonomi Kewangan Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr Abd Ghafar Ismail berkata, situasi di atas jelas menunjukkan bahawa penggabungan antara harta dan kesihatan adalah sangat penting.
Menurutnya, rakyat yang sihat adalah aset kepada kemantapan ekonomi sesebuah negara, tetapi kadang-kadang apabila tahap ekonomi negara kukuh dan meningkat ada pula yang mengalirkannya ke arah yang tidak sihat.
"Mereka gunakannya untuk tujuan yang tidak baik seperti tidak memandang serius isu halalan toyyiban. Akhirnya, akan menjadi tidak sihat dan belanjawan meningkat.
"Kita perlu seimbangkan elemen yang terkandung maqasid dalam syariah seperti menjaga harta dalam masa sama jaga akal dan diri kerana ia saling berkait. Tetapi jika pusingan di tengahnya terganggu ia akan memberi kesan.
"Dalam ekonomi ada satu bidang iaitu ekonomi kesihatan. Apabila manusia sihat maka dia dapat melakukan pekerjaan secara efisien dan akhirnya meningkatkan output dirinya, keluarga dan negara. Ini juga ditekankan dalam maqasid syariah,” katanya dalam Wacana al-Quran bertajuk Ekonomi Sihat Rezeki Berkat surah al-Saba':36 -39 yang diadakan di Kumpulan Media Karangkraf, di sini semalam.
Turut menjadi panelis ialah Doktor Perubatan, Dr Nabilah Mohd Rubani.
Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail bertindak sebagai moderator manakala qari jemputan, Ustaz Abdul Khair Jalil memperdengarkan bacaan surah al-Saba’ ayat 36 hingga 39.
Sementara itu, mengulas mengenai peranan ekonomi dalam membantu pihak yang memerlukan, Abd Ghafar berkata, apabila merujuk ayat 36 hingga 39 surah al-Sabaa terdapat empat perkataan ekonomi di situ iaitu rezeki, ALLAH yang memberi rezeki, harta dan anak.
"Jadi kalau kita lihat dalam konteks sebuah ekonomi, rezeki ini ialah kita bercerita tentang kelangsungan rezeki.
"Dalam ayat ini ALLAH SWT sentiasa memberi rezeki. Tetapi di sini ditekankan tentang harta dan anak dikaitkan dua-duanya. Jadi kalau bercerita di situ ALLAH yang memberi dan menyekat rezeki itu.
"Inilah keindahan ALLAH untuk kita berfikir bahawa kalau kita mempunyai harta, harta itu sebenarnya ekonomi yang memberi manfaat. Jadi kalau apa-apa yang memberi manfaat maka itu adalah harta,” katanya.
Beliau berkata, harta ada yang diberi lebih, ada yang diberi kurang tetapi di situlah keindahannya di mana dalam ayat terakhir itu supaya berbelanja. Yang kaya sepatutnya berbelanja untuk ALLAH, di mana dia belanja? Supaya diagihkan kepada yang kekurangan harta tadi.
"Apabila kita ada harta jangan kita simpan sebab di situ dalam ekonomi ada dua keadaan. ALLAH berfirman bahawa janganlah kita terlalu kedekut dan janganlah terlalu boros.
"Dalam ayat ini, mungkin misalnya dalam situasi ini ada yang dibuang kerja dan hilang pendapatan. Maka di mana mereka akan dapat pendapatan untuk berbelanja, jadi di sinilah kita infak harta yang mana kita diberi ALLAH kaya kemudian kita bagi pada yang miskin,” kata beliau.