Bakar kereta kerana tak mampu bayar ansuran bulanan

Iklan
Polis menahan seorang lelaki kerana membuat laporan palsu kehilangan kenderannya, baru-baru ini.

KLANG - Seorang lelaki yang membuat laporan palsu konon keretanya dicuri terbongkar selepas polis mengesan suspek terdesak kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan.

Lelaki itu dikatakan tertekan hingga bertindak membakar kenderaan tersebut di sebuah kebun kelapa sawit di Jalan Bukit Belimbing, Kuala Selangor dekat sini, Isnin lalu.

Iklan
Iklan

Suspek yang bekerja sebagai kontraktor berusia 53 tahun itu membuat laporan polis dua hari kemudian mengenai 'kehilangan' keretanya kononnya dicuri di kawasan tempat letak kereta sebuah pangsapuri di Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, polis menerima laporan yang dibuat lelaki berkenaan pada jam 9 pagi.

Iklan

"Siasatan awal mendapati suspek mengaku membakar kereta jenis LMG yang dibelinya sejak empat tahun lalu susulan terpaksa menanggung sendirian ansuran bayaran berjumlah RM569 tanpa mendapat bantuan daripada rakan kongsi perniagaannya.

"Suspek dan rakannya sebelum ini terlibat sebagai sub-kontraktor membaiki jalan dan rumah.

Iklan

"Bagaimanapun, suspek membakar kereta terbabit kerana tidak berpuas hati dengan rakan kongsi perniagaannya yang gagal membantu pembayaran ansuran bulanan," katanya hari ini.

Beliau berkata, dipercayai suspek bertindak sedemikian bagi menuntut insurans terhadap kereta tersebut.

Katanya, kes tersebut dianggap selesai berikutan penemuan kereta berkenaan selepas lelaki itu menunjukkan lokasi kejadian.

"Suspek akan dituduh di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis palsu," katanya.