SHAH ALAM - Pemuda UMNO Temerloh mencadangkan kerajaan meningkatkan Pembentukan Modal Tetap Kasar untuk pelaburan jangka panjang ekonomi negara.
Ketuanya, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit menjelaskan Pembentukan Modal Tetap Kasar terjejas teruk bermula suku pertama 2019 ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
Kemerosotan tersebut dapat dilihat dalam data ekonomi dan menggusarkan ramai pakar ekonomi kerana ia petunjuk utama kesihatan ekonomi negara dalam jangka panjang.
"Kerajaan perlu kembali meningkatkan Pembentukan Modal Tetap Kasar termasuk tidak takut untuk berbelanja secara defisit dalam keadaan genting supaya dapat meningkatkan produktiviti negara untuk pelaburan jangka panjang selain mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya melalui hantaran di Facebook hari ini.
Dalam kenyataan sama, Azril membidas kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mengemukakan idea ‘cetak wang kertas’ oleh Bank Negara Malaysia untuk menambahkan duit poket secara pukal kepada rakyat semalam.
Azril berkata, kenyataan tersebut menimbulkan kontroversi kepada umum sama seperti kenyataan sebelum ini tentang penghapusan hutang (debt jubilee) kepada golongan M40 dan B40.
Menurutnya, keadaan sekarang tidak sama seperti dahulu iaitu Bank Negara Malaysia (BNM) mencetak wang dalam situasi ketika Bank Pusat ingin mengurangkan sesuatu nilai mata wang yang masih bersandarkan kepada emas atau terikat kepada sebarang komoditi yang lain.
"BNM hari ini tidak berfungsi dalam sistem kewangan yang lapuk seperti yang mungkin difikirkan oleh Senator Wan Ahmad Fayhsal.
"Sebaliknya tindakan Bank Pusat seperti BNM hari ini yang menggunakan kaedah apungan bebas atau apungan terurus mata wang fiat, yang mana jika BNM diarahkan untuk membeli bon-bon kerajaan secara langsung, atau melaksanakan Pelonggaran Kuantitatif, polisi ini tidak melibatkan aktiviti yang boleh dikelaskan sebagai mencetak wang sama ada secara cetak (printing) atau wang elektronik.
"Tidak ada mekanisme yang wujud untuk BNM memindahkan wang secara pukal kepada poket rakyat atau ke dalam akaun rakyat di bank komersil begitu sahaja sebaliknya BNM hanya mampu mewujudkan rizab dalam ‘reserve account’ yang mana rizab ini juga tidak pernah keluar daripada kunci kira-kira Bank Pusat seperti BNM,” katanya.