KOTA KINABALU - Hanya kerana menegur rakannya yang memasang bunyi radio dengan kuat, seorang lelaki cedera di bahu kiri akibat ditikam dalam kejadian di kawasan Pelabuhan Sepanggar di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa berusia 27 tahun yang bekerja sebagai pembantu perkapalan dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKKS) Sabah untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian mangsa bersama lima rakannya melepak di kawasan berkenaan.
"Salah seorang rakannya kemudian mempelawa seorang lagi rakan yang lain iaitu suspek untuk melepak bersama.
"Suspek yang berusia 20-an itu dikatakan datang sambil membawa radio yang dipasang dengan kuat. Mangsa kemudian menegurnya supaya menghentikan radio itu kerana bunyinya sangat bising," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Habibi berkata, suspek kemudian dikatakan naik semula ke atas kapal sebelum kembali semula dan bertindak menikam mangsa menggunakan pisau.
"Mangsa yang cedera terus dibawa ke hospital oleh empat rakannya, manakala suspek melarikan diri.
"Mangsa menerima enam jahitan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan," katanya.
Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.