PNB diyakini terus komited tangani cabaran ekonomi semasa: Muhyiddin

Iklan
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin institusi pelaburan terbesar negara, Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan terus komited untuk menangani cabaran ekonomi semasa serta meningkatkan nilai pulangan Unit Amanah.

"Saya amat yakin PNB akan terus komited dalam menangani cabaran ekonomi semasa dan terus melangkah melangkaui mandat yang diberikan bagi meningkatkan nilai pulangan Unit Amanah selain meneruskan agenda pendidikan pelaburan di negara ini,” katanya dalam perutusan video sempena majlis pelancaran maya Minggu Saham Digital (MSD) di sini hari ini.

Iklan
Iklan

MSD adalah adaptasi digital Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM). Ia meneruskan objektif MSAM untuk mendidik dan meningkatkan pemahaman masyarakat tentang kepentingan menyimpan dan melabur dalam format hibur didik, sambil mempamerkan portfolio syarikat-syarikat pelaburan PNB dan operasi perniagaan mereka.

Muhyiddin turut berharap agar MSD itu dapat meningkatkan tahap kefahaman rakyat terhadap bidang pelaburan selain meningkatkan kemahiran digital.

Iklan

MSD bersiaran setiap hari dari jam 12.30 tengah hari hingga jam 10.30 malam bermula 18 hingga 24 November 2020 melalui laman Facebook dan saluran YouTube rasmi MSD.

Penonton akan dapat menyaksikan pelbagai program hibur didik dengan topik berkaitan kewangan, pelaburan, keusahawanan dan ekonomi, seperti ‘Cikgu CEO’, ‘Makan Dulu’, ‘Sembang-Sembang ASNB’ dan ‘ASB-Iclif MBA Masterclass Series’.

Iklan

Maklumat lanjut mengenai jadual program MSD boleh dilayari di www.minggusahamdigital.com.my atau @minggusahamdigital di Instagram dan Facebook. - Bernama