Dasar industri muzik negara dibentang ke Kabinet: Saifuddin

Iklan
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah beramah mesra dengan para pengiat seni semasa majlis penyerahan sumbangan kepada Penggiat Seni Muzik tanah air itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Putrajaya hari ini.

 - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Dasar khas berkenaan industri muzik tempatan akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet selewat-lewatnya akhir tahun ini bagi memastikan pertumbuhan industri itu serta kebajikan penggiatnya terbela, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, usaha itu dibuat kerana setakat ini masih tiada kerangka khusus termasuk badan atau undang-undang yang jelas bagi mengendalikan hal ehwal industri muzik negara melibatkan pemuzik, penyanyi dan mereka yang berkaitan.

Iklan
Iklan

Katanya, buat masa ini pihaknya sedang menyiapkan draf berkenaan Akta Perbadanan Muzik, namun menurutnya bukan semua perkara dapat diselesaikan menerusi undang-undang.

"...dalam dunia filem contohnya kita ada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Akta FINAS 1981 tetapi untuk muzik.., bukan langsung tiada, kerana kita ada bantuan dari segi dana kandungan digital dan sebagainya, tetapi perlu ada satu kerangka mengenai soal pembangunan, promosi di peringkat antarabangsa dan soal kebajikan mereka," katanya pada pemberita di sini hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ketua Setiausaha Datuk Seri Datuk Mohammad Mentek (kanan) semasa majlis penyerahan sumbangan kepada Penggiat Seni Muzik tanah air itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Putrajaya hari ini. - Foto Bernama

Iklan

Menurut Saifuddin, beliau dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri pada masa ini mencapai persefahaman bahawa hal berkenaan muzik akan diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

"Tetapi punca kuasa rasminya itu belum ada, jadi atas dasar tanggungjawab, kita rasa dah sampai masanya kerajaan perlu mempunyai dasar yang jelas tentang muzik khususnya siapa yang benar-benar bertanggungjawab untuk menguruskan hal ehwal muzik," katanya.

Iklan

Terdahulu, Saifuddin menyampaikan sumbangan kepada 50 pemuzik tanah air yang terjejas pendapatan mereka kerana tidak mempunyai pekerjaan ekoran pandemik koronavirus (Covid-19).

"Majlis hari ini adalah khusus untuk pemuzik, saya sedar jumlah ini adalah kecil tetapi ini adalah permulaan," katanya. - Bernama