Jangan belanja boros sangat!

Iklan
SATHIANATHAN

Setiap pasukan dinasihat dapat mengamalkan pendekatan ‘belanja berhemah’ dalam usaha membawa masuk pemain atau jurulatih baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, kebanyakan pasukan pastinya berdepan dengan masalah kewangan yang agak ketara akibat krisis pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

Justeru, Sathianathan berharap setiap pasukan bijak dalam menguruskan hal ehwal kewangan masing-masing bagi mengelak daripada dibelenggu masalah hutang pada masa akan datang.

"Sepertimana yang kita semua tahu, saingan Liga-M musim ini sudah pun tamat dan sekarang semua pasukan sudah pasti nak cari pemain dan jurulatih baharu bagi memperkuatkan pasukan masing-masing.

Iklan

"Tetapi isunya adalah soal perbelanjaan dan dalam keadaan sekarang, pasukan-pasukan terbabit khususnya yang memiliki bajet rendah, tidak boleh lagi berbelanja terlalu boros macam dahulu.

"Masing-masing kena berjimat kerana keadaan semasa terutamanya dalam musim Covid-19 sekarang. Semua pihak kena terima keadaan ini temasuklah pemain, jurulatih mahupun pegawai pasukan yang terlibat,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Iklan

Sathianathan berkata, dalam situasi yang agak mencabar ketika ini ekoran krisis Covid-19, setiap pasukan juga bakal menghadapi kesulitan bagi mendapatkan tajaan.

"Jika tiada tajaan masuk atau tajaan tak mencukupi daripada bajet yang diunjurkan, bagaimana sesebuah pasukan itu nak survive bagi menghadapi saingan liga musim depan.

"Jadi pasukan-pasukan terbabit harus beringat daripada sekarang. Jangan sampai berbelanja mewah semata-mata mahu mendapatkan pemain atau jurulatih hebat tetapi akhirnya mereka menanggung hutang.

"Ini secara tidak langsung akan menimbulkan isu tunggakan gaji pemain mahupun jurulatih yang setiap tahun kita dengar berlaku. Setiap pasukan kena beringat lebih awal sebelum masalah lebih besar berlaku,” ujarnya.

Pada masa sama, Sathianathan memberitahu, setiap pasukan harus memberikan keutamaan bagi membina infrastruktur seperti stadium dan padang latihan yang lebih kondusif dan sistematik.

"Pasukan janganlah terlalu boros kerana keutamaan sekarang bukannya untuk hanya mendapatkan piala. Tetapi cuba simpan duit yang ada untuk perbelanjaan infrastruktur.

"Buatlah perancangan dengan teliti. Tak guna jika bergelar FC (kelab) tetapi tak ada stadium, tak ada padang latihan dan sebagainya. Kena banyak berjimat dalam era penswastaan ini,” tegasnya.