Krisis kewangan yang dihadapi pengendali Zoo Negara sejak penularan koronavirus (Covid-19) menjadi bualan rakyat kerana khuatir nasib hidupan liar yang dikurung itu kekurangan zat makanan, sakit dan akhirnya mati.
Sumber pendapatan Zoo Negara bagi menampung keperluan kos RM1 juta sebulan terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Zoo Negara dimiliki oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Malaysia Zoological Society (MZS) yang diberi permit pengendalian secara tahunan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Kehadiran pendakwah, Ebit Lew yang membawa sumbangan sebanyak 200 kilogram (kg) daging lembu dan 500kg buah-buahan serta sayuran baru-baru ini mengundang persoalan mengenai peranan kerajaan dalam perkara tersebut.
Realitinya, kerajaan tidak lepas tangan membantu apabila Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menyediakan peruntukan sebanyak RM10.2 juta kepada premis Zoo dan Pameran Tetap (ZPT) yang terjejas merangkumi bekalan makanan hidupan liar, pengurusan husbandri dan ubat-ubatan.
Sebanyak 21 ZPT telah mengemukakan permohonan dana di bawah program Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar yang disalurkan secara berperingkat bermula Mei 2020.
Di bawah dana tersebut, Zoo Negara menerima sebanyak RM1.3 juta pada Jun lalu melalui Perhilitan. KeTSA turut menyediakan diskaun 15 peratus bil elektrik secara bulanan selama enam bulan kepada ZPT di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0).
Sebanyak 15 tan barang sumbangan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) termasuk daging, sayur-sayuran dan buah-buahan disalurkan kepada premis ZPT.
Semua peraturan berkaitan pengendalian ZPT di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2020 Akta 716 juga akan dikaji semula bagi memastikan ZPT adalah berdaya tahan dan kebajikan hidupan liar terpelihara.
Sehubungan itu, ZPT sebagai entiti perniagaan tidak sewajarnya meneruskan kebergantungan kepada kerajaan untuk menanggung perbelanjaan makanan haiwan dan penyelenggaraan.
Sumbangan NGO dan sektor swasta pula lebih kepada meringankan beban, bukannya memikul beban kewangan pengendali ZPT.