KUALA TERENGGANU - Pantai Pandak yang terletak di Chendering kembali meriah apabila orang ramai mengambil peluang untuk mengutip kerang yang terdampar di pesisiran pantai.
Fenomena kerang terdampar di beberapa pantai di negeri ini bukanlah satu perkara asing, malah dinanti-nantikan penduduk di negeri ini setiap kali tiba musim monsun timur laut.
Difahamkan, kerang mula memenuhi sebahagian pesisir Pantai Pandak bermula kelmarin, menyebabkan kawasan itu dipenuhi pengunjung.
Susulan itu, seramai sembilan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu melakukan rondaan dan pemantauan di kawasan berkenaan bermula jam 5 petang semalam.
Ia bagi memastikan keselamatan orang ramai, di samping memastikan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Pegawai Bomba Kanan II, Wan Mohd Azamani Wan Hamzah berkata, cuaca tidak menentu dan fenomena ombak besar susulan peralihan Monsun Timur Laut boleh mendatangkan risiko kepada orang ramai.
"Pantai ini mula dibanjiri orang ramai apabila fenomena kerang terdampar kembali. Kita dapati ada yang mengambil peluang ini untuk mengutipnya dan melakukan aktiviti di air seperti mandi serta bermain air.
"Pihak bomba datang dan pantau sambil menasihati mereka kerana sekarang ini tidak sesuai menghampiri pantai kerana keadaan ombak yang besar, malah kawasan ini juga pernah berlaku kes lemas.
"Bukan sahaja pantai, orang ramai juga diminta tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan rekreasi lain seperti perkelahan di sungai, dalam hutan, air terjun serta mendaki sepanjang musim tengkujuh ini," katanya ketika ditemui selepas melakukan rondaan di sekitar kawasan Pantai Pandak, Chendering di sini.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, kawasan itu menjadi tumpuan orang ramai untuk mengutip kerang, selain ada yang mandi-manda dan bersantai di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, ada antara pengunjung didapati tidak mematuhi SOP ditetapkan apabila tidak memakai pelitup muka dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal.