SUMATERA - Seorang tukang keranda melahirkan rasa kecewa apabila menjual batu dipercayai bongkah meteor bernilai jutaan dolar pada harga Rp200 juta (kira-kira RM57,660).
Memetik laporan BBC Indonesia, Josua Hutagalung, 34, berkata, dia berasa tertipu selepas menjual batu itu kepada seorang pakar meteor dari Amerika Syarikat, Jared Collins.
"Jored adalah orang perantaraan dan bukan pembeli meteor ini yang dikatakan harga mencecah AS$1.85 juta (RM7.56 juta).
"Saya ditipu dan kecewa ketika mendengar berita dari media di UK (United Kingdom) yang memanggil saya orang kaya. Saya terkejut, harga itu bukan dari saya. Sekiranya barang (meteor) itu sudah tiba di sana, ia bukan hak saya lagi.
"Berapa banyak yang ingin dijual, itu terpulang tetapi saya menjualnya dengan harga Rp200 juta," katanya.
Menurutnya, wang Rp200 juta hasil jual batu berkenaan telah didermakan kepada golongan kurang mampu, anak yatim, gereja dan membaiki kubur kedua ibu bapanya.