Penyerang Manchester United, Daniel James menegaskan dia akan terus berjuang bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan biarpun jarang diturunkan oleh pengendali, Ole Gunnar Solskjaer.
Pemain Wales berusia 23 tahun itu berkata, sejak beraksi di Old Trafford pada musim panas 2019 lalu, dia telah beraksi dalam 46 perlawanan termasuk beraksi ketika membantu United menduduki tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) selain beraksi dalam tiga saingan separuh akhir.
Bagaimanapun menurut James, dia sudah agak jarang diturunkan musim ini sejak kehadiran Donny Van De Beek dan Edinson Cavani.
"Manchester United adalah kelab saya dan saya suka berada di sini. Samada saya bermain atau tidak, saya tetap berbangga seperti saya berbangga ketika beraksi bersama Wales.
"Mungkin saya banyak beraksi musim lalu, tetapi tidak bagi musim ini. Bagaimanapun, saya akan terus berada di sini (Old Trafford) kerana saya rasa gembira di ketika ini.
"Bila tiba giliran saya untuk beraksi, saya akan beraksi dengan sebaik mungkin dan setakat ini saya berjaya menjaringkan gol selain turut membantu dalam penghasilan gol,” katanya.
Untuk rekod, James turut membantu Wales menang 3-1 ketika berdepan Finland dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA, Rabu lalu.
Namun katanya, biarpun menjaringkan gol pada perlawanan berkenaan, dia tetap kurang berpuas hati berbanding ketika beraksi dengan skuad The Red Devils itu.
Sementara itu James berazam untuk membantu Wales melakar kejayaan pada saingan Euro 2020 yang dijadualkan berlangsung pada Jun 2021.
Katanya, biarpun bakal berdepan pasukan-pasukan handalan dari sekitar Eropah, dia tetap yakin skuad The Dragons itu mampu untuk mencipta kejutan kali ini.
"Setelah layak ke Euro 2020, kami mahu memastikan kami mencapai sesuatu walaupun sedar ia adalah sesuatu yang sukar kerana kami bakal berdepan dengan perlawanan-perlawanan yang sukar.
"Namun, untuk layak ke saingan Euro 2020 ini juga adalah satu pencapaian besar buat kami dan kita lihat sahajalah apa yang mampu kami lakukan nanti,” katanya.