Seramai 422,609 peminjam meneruskan bayar balik pinjaman

Iklan
PTPTN menerima pembayaran balik pinjaman daripada seramai 422,609 peminjam. (Gambar kecil: Ahmad Dasuki Abdul Majid)

KUALA LUMPUR - Seramai 422,609 peminjam atau 28.17 peratus daripada 1.5 juta keseluruhan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang patut membuat bayaran balik memilih untuk meneruskan bayaran pinjaman mereka sehingga Oktober 2020.

Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, jumlah kutipan bayaran balik yang diterima pada Oktober 2020 ialah sebanyak RM103.03 juta dan menunjukkan peningkatan 173.65 peratus berbanding kutipan pada April 2020 iaitu sebanyak RM37.65 juta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan rekod, ada peminjam yang komited untuk membuat bayaran balik pinjaman dalam tempoh penangguhan dan usaha itu wajar dipuji.

"Ini menunjukkan bahawa peminjam PTPTN masih terus berusaha membuat bayaran balik pinjaman walau pun berada dalam keadaan yang sukar akibat pandemik koronavirus (Covid-19),” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Ahmad Dasuki berkata, tindakan berkenaan perlu menjadi ikutan kepada peminjam lain yang berkemampuan dan tidak terjejas.

"PTPTN ketika ini sedang melaksanakan penangguhan bayaran balik pinjaman kepada peminjam sebagai langkah prihatin dalam tempoh negara dilanda pandemik Covid-19,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, penangguhan bayaran balik pinjaman memberi manfaat kepada 1.5 juta peminjam dengan jumlah anggaran keseluruhan sebanyak RM1.13 bilion bermula Mac hingga Disember 2020.

"PTPTN mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua peminjam yang meneruskan tanggungjawab mereka dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN pada peringkat permulaan dilaksanakan untuk tempoh enam bulan bermula Mac sehingga September 2020 yang lalu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pada 23 Mac 2020.

Pada 4 Ogos lalu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengumumkan persetujuan kerajaan melaksanakan penangguhan bayaran balik pinjaman dilanjutkan untuk tempoh tiga bulan lagi sehingga Disember tahun ini.