KUALA LUMPUR - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menaikkan taraf Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Sukarela di seluruh negara bagi menarik mereka yang mengalami masalah penagihan dadah untuk tampil secara sukarela.
Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata Puspen Sukarela penting kerana menjadi salah satu kaedah untuk menggalakkan ramai lagi individu-individu yang menghadapi masalah penyalahgunaan dan penagihan dadah untuk tampil secara sukarela.
Iklan
Iklan
Beliau berkata kajian menunjukkan individu yang datang secara sukarela untuk menerima rawatan di Puspen Sukarela lebih kekal pulih, oleh kerana mereka datang atas inisiatif sendiri dan lebih sedia menjalani program-program rawatan.
"Proses menaikkan taraf ini akan dilakukan melalui dua komponen, iaitu satu daripada segi infrastruktur pusat-pusat ini untuk dijadikan lebih kondusif dan lebih sesuai bagi kumpulan yang datang secara sukarela.
"Kedua daripada segi modul yang digunakan dalam program-program rawatan itu sendiri, kita telah menambah baik supaya modul lebih sesuai dan berkesan bagi yang datang secara sukarela dengan mengambil kira kedudukan mereka,” katanya pada sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Modul Anjakan Kepulihan: Pendekatan Sukarela AADK di Puspen Sukarela Sungai Besi di sini hari ini.
Zulkifli berkata, proses menaik taraf infrastruktur bagi 11 Puspen Sukarela di seluruh negara telah pun berjalan untuk tahun ini dengan kos kira-kira RM500,000 yang dibelanjakan dan kerajaan juga meluluskan AADK untuk meneruskan kerja-kerja menaik taraf sehingga tahun hadapan dengan menyediakan dana sebanyak RM3 juta.
Sementara itu, beliau berkata, ketika ini 19 peratus (800 orang) individu yang menerima rawatan di Puspen Sukarela seluruh negara, dan pihaknya meletakkan sasaran untuk menambahkan bilangan itu sekurang-kurangnya sebanyak 30 peratus pada tahun hadapan. - Bernama