TANJONG KARANG - Seorang penduduk Orang Kurang Upaya (OKU) terharu menerima bantuan rumah baharu hasil bantuan zakat daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) selepas kediamannya rosak akibat ribut dua tahun lalu.
Mohamad Zamdi Hassan, 41, berkata, kediaman yang didiami bersama isteri dan dua anaknya itu hanya berbumbung kanvas kerana bumbung asalnya sudah usang.
"Saya pula tidak mampu bergerak aktif kerana kaki kiri dipotong akibat kencing manis dan akan berasa sakit setiap kali menaiki tangga," katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi PUNB, Tan Sri Noh Omar di rumahnya di Lorong Hamzah, Kampung Bagan Pasir di sini hari ini.
Mohamad Zamdi yang menetap di situ sejak 30 tahun lalu berkata, kunjungan Noh sangat bermakna kerana dapat meringankan beban mereka sekeluarga yang hidup dengan pendapatan tidak menentu.
"Dalam keadaan uzur ini, saya hanya mampu bekerja kampung. Sebelum ini ada juga buka kedai makan kecil-kecilan tapi ditutup selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan)," katanya.
Sementara itu, Noh berkata, PUNB menyampaikan sumbangan zakat bagi membina dua rumah baharu di Parlimen Tanjong Karang.
Katanya, sebanyak RM17, 000 dan RM11, 000 diperuntukkan bagi kerja-kerja membina rumah terbabit.
"Kedua-dua mereka (penerima) merupakan asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan layak mendapat bantuan zakat PUNB," katanya.
Beliau memberitahu, selain bantuan zakat PUNB, beliau turut menyalurkan sumbangan kepada empat lagi rumah penduduk di Parlimen itu yang dilanda ribut.
"Alhamdulillah, kita telah membantu semua mangsa ribut dengan menjalankan kerja-kerja baik pulih rumah yang mengalami kerosakan," katanya.