PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membanteras penjualan sarung tangan tiruan menerusi satu operasi yang dijalankan di sebuah gudang di Taman Perindustrian Bukit Serdang di Seri Kembangan, Selangor semalam.
Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata dalam serbuan itu, pihaknya merampas sarung tangan jenama Max Care disyaki tiruan yang dianggarkan bernilai RM37,075.
"Ketika serbuan dijalankan pekerja-pekerja dalam premis sedang leka melakukan aktiviti pembungkusan semula, tanpa menyedari kehadiran pegawai-pegawai penguat kuasa.
"Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menemukan sebanyak 1,815 kotak kosong dan 80 kotak berisi sarung tangan jenama Max Care,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi itu dijalankan hasil ekoran aduan wakil pemilik cap dagang berdaftar jenama Max Care mengenai sarung tangan getah tiruan, dan wakil pemilik cap dagang berdaftar juga mendapati barang-barang tersebut tiruan.
Menurut Iskandar Halim, modus operandi peniaga barang tiruan itu adalah membeli sarung tangan getah daripada pembekal luar negara, kemudiannya dibungkus semula menggunakan jenama cap dagangan berdaftar Max Care.
"Perbandingan sarung tangan getah tiruan dengan sarung tangan getah yang asli adalah dari segi kualiti, ketebalan, warna, pembungkusan dan pencetakan pada kotak pembungkusan,” katanya.
Katanya dalam operasi itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis, telah ditahan dan diambil keterangan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu, mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.
Sementara itu, Iskandar Halim berkata sebanyak 257 kes berkaitan barang tiruan direkodkan dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, dengan jumlah rampasan bernilai lebih RM4.5 juta.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyimpanan dan penjualan barang tiruan ini diminta melaporkan di hotline 1-800-886-800, WhatsApp 019-2794317 atau 03- 8882 6088 di ‘Enforcement Command Centre’ (ECC). - Bernama