SAINGAN Liga Malaysia (Liga-M) tetap mampu menggamit tumpuan pihak penaja walaupun berdepan dengan ketidaktentuan akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak Mac lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan mendedahkan, beberapa penaja sudah bersedia untuk tampil memberikan penajaan kepada badan pentadbir Liga-M itu.
"Di peringkat MFL, setakat ini sudah ada satu atau dua penaja yang sudi menaja dan semuanya masih dalam proses perbincangan. MFL juga akan terus berusaha untuk mencari penaja yang lain.
"Insya-ALLAH saya percaya dengan melihat kepada data prestasi di platform digital yang menunjukkan Liga-M musim ini ditonton puluhan juta orang, ia akan dapat menarik penaja.
"Malah, penaja juga akan yakin bahawa jenama mereka yang mahu diketengahkan itu dapat diperluaskan dan diperkembangkan lagi berdasarkan data platform digital tersebut,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Selepas disambung semula Ogos lalu, Liga-M 2020 menempuh norma baharu apabila terpaksa diadakan tanpa kehadiran penonton dan perlawanan hanya boleh disaksikan melalui siarang langsung di saluran You Tube dan di kaca televisyen.
Namun, ia tetap ‘meriah’ dengan mencatatkan 29 juta tontonan menerusi platform Youtube. Jumlah yang agak tinggi itu tidak termasuk aksi pusingan pertama Piala Malaysia yang berjaya mencatatkan jumlah tontonan sebanyak 6.6 juta dengan hanya tujuh perlawanan.
Mengulas lanjut, Ab Ghani berkata, pencapaian itu turut menunjukkan bahawa saingan Liga-M masih mempunyai ‘nilai dan tarikan tersendiri’ sehingga mampu menarik penonton untuk menyaksikan setiap perlawanan.
"Itu menunjukkan saingan liga kita masih mempunyai nilainya yang tinggi selain masih dapat menarik perhatian penonton untuk memeriahkan kancah bola sepak negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ab Ghani turut mengharapkan agar setiap pasukan Liga-M tidak boros dan berbelanja secara berhemah untuk menyediakan pasukan musim depan.
"Sekarang ini keadaan ekonomi tidak begitu baik, tapi kalau penaja itu nak taja dia akan taja juga. Tetapi pasukan kena berhemah supaya penajaan itu dapat digunakan sebaik mungkin,” ujarnya.