Disangka kayu hanyut rupanya buaya

Iklan
Buaya yang kelihatan timbul di Sungai Marang berhampiran Kampung Gong Tepah. - Foto ihsan pembaca

MARANG - Kehadiran buaya di sekitar Sungai Marang sejak lebih seminggu lalu menggemparkan penduduk di sini sekaligus menimbulkan kebimbangan akan tahap keselamatan orang ramai.

Walaupun buaya itu dikatakan tidak mengganggu, namun ada kalangan penduduk mengharapkan papan tanda amaran dipasang sebagai langkah keselamatan.

Iklan
Iklan

Hassan Basri Yunus, 23, dari Kampung Gong Tepah berkata, beliau mula menyedari kehadiran buaya berkenaan pada 14 November lalu ketika berada di sangkar ikannya yang terletak di Sungai Marang.

Hassan Basri Yunus

"Pada mulanya saya ingatkan kayu hanyut, tapi tiba-tiba buaya itu timbul. Panjang juga, mungkin dalam tiga meter.

Iklan

"Pelik juga dengan kehadiran buaya ini sebab jarang nampak, biasanya timbul di di kawasan kampung berhampiran. Berapa ekor itu saya tak pasti sebab kebetulannya saya jumpa seekor, mungkin ada kawanannya.

"Cuma apa yang kita bimbang, ada yang suka mengail udang dan mandi sungai, jadi kita harapkan mereka lebih berhati-hati. Seeloknya pasang papan tanda amaran sebagai peringatan kepada orang ramai," katanya.

Iklan

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Desa Permai Darat Pak Chan, Abdul Razak Othman berkata, pihaknya sedia maklum akan kehadiran buaya di kawasan itu setelah dimaklumkan penternak ikan sangkar di kawasan berkenaan.

Abdul Razak Othman

Beliau mengakui, amat jarang buaya timbul di kawasan itu, namun percaya ia mungkin disebabkan lambakan ikan sangkar yang mati di kawasan itu sejak lebih seminggu lalu.

"Sebelum ini buaya tak timbul tapi disebabkan ikan sangkar banyak yang mati, buaya mungkin nak makan. Saya dimaklumkan mungkin ada dua ekor, namun ia tidak mengganggu orang ramai.

"Saya akan berhubung dengan jabatan berkaitan untuk memasang label supaya pengunjung lebih berhati-hati apabila menghampiri sungai atau mandi-manda di sini," katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya sudah mendapat makluman tentang perkara itu.

Kehadiran buaya di sekitar Sungai Marang sejak lebih seminggu lalu menggemparkan penduduk di sini sekaligus menimbulkan kebimbangan akan tahap keselamatan orang ramai.

"Insya-ALLAH, ia sudah dalam makluman dan kita akan buat siasatan terhadap video yang tular itu.

"Cuma kita nasihatkan kaki pancing supaya berhati-hati bukan sahaja dengan buaya tapi berkaitan dengan hujan lebat dan arus pun kuat. Jadi sama-sama kita ambil perhatian isu ini dan ambil langkah berjaga-jaga.

"Pihak kami juga akan maklumkan kepada jabatan berkaitan tentang pemasangan papan tanda. Insya-ALLAH kita akan bawa kepada pihak-pihak yang berwajib," katanya.