KOTA TINGGI - Seorang nelayan tempatan yang hilang selepas terjatuh dari bot semasa memancing di Tanjung Sedeli di sini ditemukan selamat semalam selepas berpaut pada pelampung pukat selama tujuh jam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Abdul Aziz Abdullah, 57, ditemukan terapung-apung berpaut pada pelampung itu pada jam 6 petang semalam.
"Mangsa ditemukan pada kedudukan kurang 5.1 batu nautika timur Tanjung Sedili Kechil. Sebelum kejadian dia turun ke laut berseorangan untuk menangkap ikan pada jam 6.40 pagi semalam.
"Pada jam 9 pagi, ketika hendak menurunkan pukat, mangsa pitam kemudian terjatuh ke laut. Keadaan laut yang bergelora menyukarkan mangsa untuk berenang ke bot sebelum hanyut mengikut arus," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, APMM menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan pada jam 4.50 petang mengenai penemuan sebuah bot tanpa pengemudi pada kedudukan 3.1 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Kechil.
Beliau berkata, bertindak atas aduan, bot Kilat 16 segera diatur gerak ke lokasi kejadian dan menemui bot gentian kaca lengkap dengan peralatan menangkap ikan tanpa pengemudi.
"Kilat 16 terus melakukan pencarian sekitar bot ditemui dibantu tiga bot nelayan tempatan bagi mengesan mangsa. Mangsa kemudian ditemui terapung-apung dalam keadaan selamat sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili.
"APMM mengucapkan jutaan terima kasih kepada komuniti maritim yang turut sama membantu dalam pencarian yang dilaksanakan," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan komuniti maritim dan bot-bot kecil agar tidak ke laut berseorangan dan sentiasa mengambil langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan selain memiliki Personal Locator Beacon (PLB).
"Selain tugas-tugas penguatkuasaan, APMM sentiasa bersiap sedia memberi perkhidmatan dan bantuan kecemasan kepada masyarakat atau komuniti maritim," katanya.
Orang ramai terutama komuniti maritim yang berdepan situasi kecemasan di perairan Johor timur boleh menghubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili (07-8916595) atau talian kecemasan MERS 999.