SAM gesa perikanan negara diberi perhatian

Iklan
Operasi pukat tunda menimbulkan konflik dan ketegangan kepada nelayan pantai zon A kerana kerap menceroboh ke kawasan tangkapan mereka serta merosakkan alat tangkapan nelayan. - Gambar hiasan Foto Bernama (Gambar kecil: Meenakshi Raman)

GEORGETOWN - Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa semua pihak memberi perhatian terhadap masalah berkaitan perikanan khususnya di negara ini selain di seluruh dunia.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, sejak dahulu, masalah perikanan dibelenggu dengan isu penangkapan ikan berlebihan, kaedah tangkapan yang merosakkan sumber, pemusnahan habitat, pencemaran, pembangunan pinggir pantai dan pelbagai ancaman lain terhadap sumber hidupan laut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kajian melaporkan lebih daripada dua pertiga sumber ikan di dunia mengalami penangkapan berlebihan atau dituai sepenuhnya selain lebih dari satu pertiga dilaporkan berada dalam keadaan merosot kerana pelbagai faktor.

"Di Malaysia, pukat tunda, alat menangkap ikan yang tidak dibenarkan serta boleh merosakkan sumber merupakan salah satu daripada faktor utama kemerosotan sumber perikanan. Alat menangkap ini banyak memerangkap anak-anak ikan yang tiada nilai komersial untuk dijadikan ikan baja.

Iklan

"Kajian menunjukkan hingga 60 peratus tangkapan oleh pukat tunda adalah ikan baja dan anak-anak ikan. Selain itu, alat menangkap tersebut merosakkan dasar laut dan kawasan pembiakan hidupan marin," katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Perikanan Sedunia.

Beliau berkata, operasi pukat tunda juga menimbulkan konflik dan ketegangan kepada nelayan pantai zon A kerana pukat tersebut kerap menceroboh ke kawasan tangkapan mereka serta merosakkan alat tangkapan nelayan.

Iklan

"Dalam isu ini, dasar Penghapusan Pukat Tunda B dan Penghapusan Pukat Kenka 2 bot (Apollo) yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2021 mesti diteruskan seperti yang dirancang.

"Dasar ini perlu dilaksana segera seperti yang dirancang bagi menjamin sumber perikanan yang lestari dan berterusan. Dasar ini telah lama dirancang iaitu sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) bagi mengurangkan daya tangkap berlebihan di laut," katanya.

Meenakshi berkata, pihaknya berharap agar kerajaan komited dalam melaksanakan dasar tersebut yang ditangguhkan sejak 2016.

"Pada 2014, Menteri Pertanian telah mengumumkan untuk menghapuskan pukat tunda di zon B bermula 1 Januari 2016. Bagaimanapun, perancangan itu ditunda ke 1 Januari tahun depan selepas mengambil kira bantahan pengusaha pukat tunda yang memerlukan lebih masa untuk menukar alat tangkap serta kebajikan awak-awak dan tekong.

"Sehingga hari ini, SAM melihat tiada kesungguhan dan komitmen dari kerajaan untuk mempertahankan dasar ini. Selain itu, kerajaan juga perlu tegas dalam menangani isu pencerobohan nelayan asing yang menyebabkan negara kerugian RM6 bilion setahun," katanya.

Beliau berkata, lesen vesel terpakai yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan juga harus disemak semula kerana banyak lesen tersebut dijual atau disewa untuk kepentingan sesetengah pihak.

"Usaha Jabatan Perikanan bagi meningkat sumber perikanan melalui penggunaan tukun tiruan amat disambut baik. Tukun-tukun tiruan ini akan menjadi tempat pembiakan ikan.

"Selain itu, tukun ini juga berfungsi sebagai penghalang aktiviti nelayan pukat tunda dari masuk ke kawasan zon pantai. Pukat tunda yang tersangkut pada tukun akan pecah, manakala tali penarik akan putus. Selain tukun konkrit (buatan), bot nelayan asing yang dilucut hak kerana menceroboh sempadan negara turut dijadikan tukun," katanya.

Katanya, usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hutan paya bakau harus dipergiat yang mana, ia perlu dikekalkan, dipelihara serta dipulihara dengan baik.

"Pemeliharaan dan pemuliharaan sumber perikanan merupakan agenda penting yang perlu dibawa oleh semua pihak bagi memastikan sumber protein negara berasaskan ikan dan sumber laut dapat dinikmati oleh generasi ke generasi," katanya.