Harap Puspakom lanjut tempoh pemeriksaan teksi

Iklan
Gambar dari kiri: Razali Sahran, Abdul Manap Nazir

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) diharap dapat melanjutkan tempoh pemeriksaan teksi berikutan kebanyakannya pemandu terkesan dengan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Timbalan Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Bandaraya Shah Alam, Razali Sahran berkata, berdasarkan prosedur biasa, semua pemandu teksi perlu membuat pemeriksaan Puspakom pada setiap tahun malah prosesnya juga turut melibatkan kos yang agak tinggi.

Iklan
Iklan

Berikutan itu, Razali berkata, pihaknya berharap agar proses pemeriksaan kenderaan itu dapat dikaji semula dengan mengambil kira nasib pemandu teksi yang terjejas ketika pandemik ini.

"Pendapatan pemandu teksi dan e-hailing memang terjejas teruk dan sebab itulah kami mohon agar Puspakom dapat bantu dan kaji semula berhubung proses pemeriksaan kenderaan ini.

Iklan

"Mungkin mereka boleh bantu dengan melanjutkan sedikit tempoh pemeriksaan selama tiga ke enam bulan," katanya selepas Program Penyerahan Bantuan Makanan Kepada Pemandu Teksi hasil sumbangan Al-I’tisam Relief Program Association (Al I’tisam) di Hentian Teksi Seksyen 13 hari ini.

Azlee Senario (dua dari kanan) turut turun padang bagi membantu mengagihkan barangan keperluan harian buat pemandu teksi.

Hadir sama dalam program berkenaan adalah selebriti komedi tanah air, Mohd Azlee Jaafar atau lebih dikenali sebagai Azlee Senario yang juga merupakan sukarelawan Al I’tisam.

Iklan

Mengulas lanjut, Razali berkata, dia turut merasa sebak apabila ada dalam kalangan pemandu teksi terpaksa bergelut bagi membayar sewa kenderaan kepada pihak syarikat sedangkan pendapatan yang diraih mereka tidak seberapa.

"Lebih menyedihkan, ada dalam kalangan mereka terpaksa menanggung tunggakan bil-bil yang lain kerana perlu memberi keutamaan untuk barangan keperluan harian," katanya.

Sementara itu, seorang pemandu teksi, Abdul Manap Nazir, 65, berkata, sejak penularan wabak Covid-19, pendapatan yang diraihnya setiap hari merosot hampir 80 peratus berikutan kekurangan pelanggan.

Abdul Manaf berkata, sebelum ini, dia mampu meraih sekitar RM100 keRM200 sehari namun sejak pelaksanaan PKP pada Mac lalu, pendapatan diraihnya hanyalah sekitar RM30 sehari.

"Disebabkan itulah, bantuan disampaikan oleh Al I’tisam ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan pemandu teksi seperti kami.

"Saya juga harap agar lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) dapat tampil untuk membantu golongan seperti kami ini," katanya.

Antara pemandu teksi yang hadir bagi mendapatkan sumbangan barangan keperluan harian pemberian Al I’tisam.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Al I’tisam, Mohd Shah Sapiei berkata, seramai 107 pemandu teksi sekitar Shah Alam menerima bantuan berupa barangan keperluan harian seperti beras, minyak, tepung, serbuk kopi dan lain-lain lagi.

Katanya, pihaknya mengambil keputusan bagi membantu pemandu teksi memandangkan golongan ini turut terjejas teruk sejak penularan wabak Covid-19.

"Kami berharap agar Covid-19 ini akan segera berlalu dan pemandu teksi serta pihak yang terjejas dapat meneruskan semula operasi mereka seperti sedia kala," katanya.