DUNGUN - Seorang pengawal keselamatan cedera di bahagian kaki dan kepala ketika bergelut dengan seekor beruk yang secara tiba-tiba menyerangnya dalam kejadian di Durian Mentangau, malam tadi.
Sewaktu kejadian, Noor Hisham Mohamed Nor, 40, yang sedang bertugas di pondok pengawal SK Durian Mentangau mendapati seekor makhluk berbulu berada di sampingnya.
Pada awalnya Noor Hisham menyangka haiwan berbulu itu kucing dan tetapi rupa-rupanya ia seekor beruk jantan.
Kata Noor Hisham, disebabkan terkejut dia yang sedang duduk di atas kerusi di hadapan pondok pengawal bingkas bangun dan serentak dengan itu beruk berkenaan bergayut serta menggigit kakinya.
"Saya masuk kerja pada jam 8.00 malam dan sementara menunggu Isyak saya duduk berehat di atas kerusi.
"Ketika itulah saya tersentuh sesuatu yang berbulu dan menyangkakan kucing.
"Setelah diamati bukan kucing dan saya sangkakan pula anjing tetapi rupa-rupanya beruk," katanya ketika ditemui selepas mendapatkan rawatan di unit kecemasan Hospital Dungun.
Katanya, dia bergelut beberapa minit dengan beruk berkenaan sehinggalah dia rebah dan terhantuk terkena tiang besi menyebabkan kepalanya berdarah.
"Saya digigit beberapa kali di kaki dan tidak sedar kepala sudah cedera terkena tiang besi.
"Sebaik sahaja berjaya melepaskan diri, saya mencapai sebatang besi untuk memukul beruk dan binatang itu lari tetapi masih berada di sekitar kawasan sekolah," katanya.
Menyedari kepalanya luka agak teruk, dia yang sudah bertugas hampir 10 tahun di sekolah itu segera ke klinik desa berhampiran tetapi tiada petugas dan dia menghubungi isterinya, Nor Hayati Ali, 41 untuk bantuan.
"Pada mulanya tidak sangka kepala luka tetapi tiba-tiba terasa panas di kepala dan darah keluar dengan banyak.
"Saya hubungi isteri dan dia berjalan lebih kurang 1 kilometer dari rumah kami ke sekolah.
"Setibanya di Hospital Dungun saya diberi rawatan kecemasan dan menerima beberapa jahitan di kepala," katanya.
Memadangkan beruk berkenaan berbahaya dan dipercayai sudah mengamuk sejak siang hari kelmarin termasuk menggigit seorang lelaki, penduduk bertindak menembak haiwan itu sehingga mati.