KOTA BHARU - Hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memutuskan rantaian koronavirus (Covid-19) di negeri ini dilihat tenang tetapi premis perniagaan masih dibuka seperti biasa
Tinjauan Sinar Harian mendapati premis perniagaan suram dan peniaga mencari alternatif dengan menjual melalui online dan menghantar ke kediaman penduduk.
Peniaga Wakaf Che Yeh, Noraziah Noordin, 34, memberitahu, jumlah pelanggan berkurangan namun perniagaan makanan yang diusahakannya tetap berjalan seperti biasa dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang baharu diperkenalkan kerajaan negeri.
"Insya-ALLAH perniagaan ini akan kembali mendapat sambutan. Lagipun kami menyediakan perkhidmatan tempahan untuk makanan. Mereka tidak perlu keluar rumah," katanya.
Peniaga susu, Fara Azmi, 31, juga mengakui perniagaan yang diusahakannya kurang mendapat sambutan seperti dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu tetapi melakukan penghantaran dari rumah ke rumah.
Fara memberitahu, dia lebih mengutamakan keselamatan pembeli daripada untung kerana pandemik Covid-19 bukanlah penyakit biasa yang mudah diubati.
"Memang perniagaan suram tetapi akan kembali pulih. Paling penting kita semua jaga diri masing-masing. Jangan pentingkan diri sendiri, patuh SOP.
"Kami pun bergerak menggunakan surat kebenaran serta patuh arahan supaya dapat memudahkan urusan pihak berkuasa," katanya.
Sementara itu, sebanyak 19 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan sejak jam 12 tengah malam kelmarin bagi mengawal pergerakan penduduk yang merentas daerah.
Tinjauan di beberapa SJR di sini mendapati laluan agak sesak kerana masih ada lagi rakyat di negeri ini yang merentas daerah walaupun telah dinasihatkan untuk tidak berbuat demikian sehingga 6 Disember ini.
Kebanyakan kenderaan dari -daerah di sekitar Kota Bharu dan tidak kurang juga yang mahu keluar dari dari Kota Bharu.