30 tahun tunggu titi, redah paya busuk berakhir

Iklan
Mariam bersama anaknya meredah paya berbau busuk untuk keluar dari rumahnya di Kampung Pantai Sabak.

KOTA BHARU - Penderitaan lima sekeluarga yang perlu meredah lumpur sedalam 0.2 meter untuk keluar masuk ke perkarangan rumahnya di Kampung Pantai Sabak sejak lebih 30 tahun lalu akhirnya mendapat perhatian beberapa badan bukan kerajaan (NGO) semalam.

Sebelum ini, Mariam Mat Deris, 55, sekeluarga terpaksa mengharungi air bertakung dan berbau busuk kerana ia merupakan satu-satunya laluan keluar masuk ke rumahnya.

Iklan
Iklan

Semalam, ibu kepada tiga anak itu meluahkan rasa syukur dan gembira apabila Cempaka Merah Asnaf Society, The Third Force, Gie Empire, I-Kasih dan Rumah Mahabah tampil menghulurkan bantuan dengan membina titi di hadapan rumahnya.

Gotong-royong membina jambatan kayu sepanjang 10 meter dengan menggunakan batang pokok kelapa, kayu dan papan itu melibatkan 30 orang sukarelawan yang bermula seawal jam 10 pagi hingga 7 malam.

Iklan

Mariam berkata, dia sekeluarga bersyukur dan berterima kasih kerana ada pihak yang sanggup bersusah payah membantu membina jambatan kayu tersebut.

Sukarelawan yang menyiapkan titi turut bergembira kerana dapat membantu keluarga Mariam.

Katanya, sebelum ini setiap kali mahu keluar ke kedai dan sebagainya dia perlu meredah dan mengharungi paya sedalam 0.2 meter setiap hari.

Iklan

"Malah setiap kali anak mahu ke sekolah, mereka perlu dikendong sehingga ke daratan agar kasut serta pakaian sekolah mereka tidak kotor.

"Lebih memeritkan apabila tibanya musim tengkujuh kerana kedalaman air paya meningkat dan boleh mendatangkan bahaya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mariam yang juga penerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat berkata, sejak musim tengkujuh yang lalu struktur rumahnya sudah banyak rosak selain airnya berbau busuk.

Sukarelawan sanggup ‘bermain’ lumpur bergotong royong membina titi untuk kegunaan Mariam sekeluarga.

Katanya, rumah yang didiaminya sekeluarga itu juga sudah tidak kukuh lagi dan hanya menunggu waktu untuk roboh kesan daripada serapan air paya serta laut yang kerap bertakung di kawasan kediamannya itu.

"Tapi kami tiada pilihan lain selain terus tinggal di sini kerana tidak mampu untuk berpindah dan tinggal di tempat lain," katanya.

Sementara itu, wakil kumpulan aktivis masyarakat Persatuan Cempaka Merah Asnaf, Che Norhayati Mohamad berkata, pihaknya tampil membantu keluarga tersebut kerana merasai kesusahan yang dihadapi mereka.

Katanya, sebelum ini pihaknya sudah mengenal pasti bentuk bantuan yang diperlukan oleh keluarga tersebut dan akan berusaha untuk membaiki rumah mereka.

"Disebabkan itu kami membina jambatan kayu untuk keluarga ini bagi memudahkan mereka bergerak terutamanya ketika musim tengkujuh," katanya.