WASHINGTON - Donald Trump kini berdepan tekanan yang semakin meningkat daripada anggota Republikan gara-gara beliau masih enggan menerima kemenangan bakal Presiden ke-46 Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada Pilihan Raya Presiden AS 2020 yang berlangsung 3 November lalu.
Semalam, bilionair hartanah terbabit masih tidak berputus asa apabila beliau mengadakan pertemuan dengan penggubal undang-undang di Michigan sebagai usaha untuk membatalkan keputusan pemilihan itu.
Biden yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-78 semalam turut mengecam tindakan Trump yang disifatkan sebagai ‘tidak bertanggungjawab’.
Keputusan sebelum ini menunjukkan bekas Naib Presiden itu menang di Michigan dengan 155,000 undi dengan margin 10 kali ganda lebih tinggi berbanding diraih Trump pada 2016.
Senator Lamar Alexander menjadi anggota Republikan terbaharu yang menyelar Trump dan berpendapat Biden mempunyai peluang yang sangat baik untuk memegang jawatan di Rumah Putih.
"Beliau wajar diberikan hak yang sepatutnya untuk memastikan proses peralihan kuasa berjalan lancar,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Negeri Georgia, Brad Raffensperger yang mengesahkan kemenangan Biden selepas proses kiraan semula undi menyatakan beliau percaya keputusan tersebut adalah tepat.
"Angka tidak menipu dan ia mencerminkan kehendak penduduk negeri ini,” katanya.
Ketika ini, kempen Trump turut berusaha untuk membatalkan puluhan ribu undi tidak hadir di dua daerah Wisconsin yang turut menghitung semula undi atas alasan ia sepatutnya tidak dikira, namun tuntutan mereka ditolak.
Difahamkan, sebanyak 31 kiraan semula undi telah dilakukan di seluruh negara sejak proses hitung semula di Florida ketika Pilihan Raya Presiden AS 2000 yang mengubah keputusan tiga pemilihan melibatkan ratusan ribu undi. - Agensi
INFO
* Twitter akan menyerahkan kawalan akaun @POTUS kepada Biden pada hari beliau mengangkat sumpah jawatan Presiden ke-46 AS pada 20 Januari 2021 walaupun Trump enggan menerima kekalahannya. Ia turut melibatkan penyerahan akaun sedia ada termasuk @FLOTUS, @VP dan akaun rasmi lain.
* Biden bakal menjadi Presiden AS paling tua dalam sejarah negara itu selepas Presiden ke-40 AS, Ronald Reagan yang meninggalkan Rumah Putih ketika beliau berusia 77 tahun.