Banjir: Polis pertingkat kawalan pencegahan jenayah

Iklan
Kawalan pencegahan jenayah akan dipertingkat susulan banjir melanda beberapa kawasan di Melaka sejak Khamis lepas. - Foto 123RF

MELAKA - Polis Melaka memberi jaminan untuk mempertingkat kawalan pencegahan jenayah susulan banjir yang melanda beberapa kawasan di negeri berkenaan sejak Khamis lepas.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, mangsa yang terjejas akibat bencana itu juga tidak perlu bimbang untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana risau barangan berharga yang ditinggalkan sebaliknya perlu mengikut arahan demi menjamin keselamatan mereka.

Iklan
Iklan

"Mangsa yang ditempatkan di PPS juga dinasihatkan supaya melaporkan ketiadaan mereka di rumah kepada pihak polis di kawasan berdekatan bagi membolehkan pihak berkuasa melakukan rondaan secara rapi di kawasan kediaman yang ditinggalkan bagi memastikan ia kekal selamat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya Op Benteng di Ujong Pasir di sini, malam tadi.

Abdul Majid berkata, selain rondaan pencegahan jenayah, polis turut membantu pasukan keselamatan lain memindahkan mangsa yang terkesan dengan bencana tersebut.

Iklan

Menurut aplikasi infoBencanaJKM, mangsa banjir di Melaka menurun kepada 218 orang pada jam 9 pagi ini berbanding 229 mangsa pada 9 malam tadi.

Kesemua 218 mangsa itu membabitkan 52 keluarga dari tiga daerah dan masih ditempatkan di empat PPS di negeri ini dengan tiada jalan utama ditutup serta cuaca dilaporkan cerah pada pagi ini.

Iklan

Dalam pada itu, Abdul Majid berkata walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini berakhir semalam, namun penguatkuasaan undang-undang juga dipertingkat bagi memastikan masyarakat terus mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian koronavirus (Covid-19).

"Dalam fasa seterusnya kita juga akan memberi tumpuan terhadap Op Benteng untuk mengekang kemasukan pendatang tanpa izin.

"Walaupun 12 sekatan jalan raya telah tamat tapi kita mengekalkan sekurang-kurangnya enam sekatan jalan raya lagi dengan memberi tumpuan terhadap Op Benteng terutama di kawasan pesisir pantai yang menjadi lokasi panas pendaratan pendatang tanpa izin," katanya.

Abdul Majid berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan PKPB dari 9 hingga 21 November lepas, sebanyak 181,148 kenderaan diperiksa di semua sekatan jalan raya di negeri ini dengan 806 kenderaan diarah berpatah balik.

Katanya, polis Melaka juga meluluskan 38,210 permohonan rentas negeri manakala 202 telah ditolak kerana tidak mematuhi arahan selain 12,341 premis telah diperiksa bagi pematuhan sepanjang pelaksanaan PKPB selain 38 tangkapan serta 125 kompaun dikeluarkan kerana melanggar PKPB. - Bernama