SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan memulakan projek rintis Program Fast Track Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk pelajar lepasan tahfiz di negeri ini melibatkan 50 pelajar bermula Januari tahun hadapan.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, program itu bercorak eksklusif kerana pelajar perlu mengikuti pelajaran dari Tingkatan Satu hingga Lima dalam tempoh satu tahun sebelum menduduki peperiksaan SPM pada akhir tahun hadapan.
Menurutnya, program kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga akan dibuka kepada pelajar tahfiz yang tidak berminat dengan program akademik.
"Pelajar akan ditempatkan di institusi-institusi TVET seperti Kolej Komuniti, GiatMara dan pelbagai lagi institusi TVET di Negeri Sembilan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha itu adalah julung kali dilaksanakan di negeri ini diterajui kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan.
"Ini menunjukkan keseriusan dan komitmen kami untuk memartabatkan pendidikan di Negeri Sembilan.
"Kami prihatin terhadap permasalahan pelajar lepasan tahfiz yang agak terbatas untuk merebut peluang pekerjaan dalam sektor perubatan, kejuruteraan, perundangan, pengurusan dan pelbagai lagi kerana tidak mendapat pendidikan secara formal dalam akademik atau mahupun kemahiran TVET.
"Mereka ini adalah pelajar yang bijak, tetapi pendidikan mereka yang rata-ratanya dalam umur 12 hingga 16 tahun hanya tertumpu kepada hafalan al-Quran," katanya.
Terdahulu, beliau membuat lawatan ke Maahad Tahfiz As-Sa'adiyyah (MTAS) di Senawang bagi menilai kesesuaian premis, lokasi dan kemudahan seperti bilik darjah, makmal, perpustakaan, asrama, dewan makan untuk pelaksanaan projek rintis itu.
Hadir sama, Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz dan Pondok Negeri Sembilan (Pinta), Mohd Ali Abd Kadir, wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Ahli Lembaga Pengarah dan warga pendidik MTAS.