SEREMBAN - Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) akan menutup lapan lampu isyarat di daerah ini sempena Sambutan Tahun Baharu Cina bermula dari 1 hingga 7 Februari ini.
Yang Dipertuanya, Syahrul Nizam Saleh berkata, penutupan bertujuan mengurangkan dan mengawal kesesakan lalu lintas sepanjang tempoh berkenaan.
"Enam lampu isyarat terlibat di persimpangan Ampang Tinggi, lampu isyarat berhadapan Sekolah Menengah (SMK) Kebangsaan Dato Abdul Samad, Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Idris, Tanjung Ipoh, SK Yam Tuan Hitam, Terachi, lampu isyarat kawasan rehat Taman Rekreasi Ulu Bendul dan di hadapan SK Ulu Bendul.
"Manakala dua lagi melibatkan lampu isyarat di Persimpangan Ampang Tinggi dan di hadapan Pasaraya Giant yang menyebabkan pengguna jalan raya dari arah Jalan Seremban Lama yang ingin menghala ke Seremban perlu membuat pusingan U di persimpangan di situ kerana lorong menghala ke Seremban akan ditutup,”katanya kepada Sinar Harian.
Syahrul Nizam berkata, selain itu berlaku juga penutupan jalan di persimpangan utama di bandar Kuala Pilah iaitu di persimpangan Jalan Undang Johol- Jalan Perpatih dan persimpangan Jalan Dato Undang Johol –Jalan Dato Abdul Manap.
"Bagaimanapun persimpangan Jalan Dato Undang Johol –Jalan Ulu Muar akan dibuka dan hanya ditutup sekiranya berlaku kesesakan teruk di dalam kawasan bandar Kuala Pilah,” katanya.
Menurutnya, pengguna yang ingin masuk ke kawasan bandar Kuala Pilah dari arah Jempol perlu melalui lorong bersebelahan bank RHB Kuala Pilah atau melalui Taman Rekreasi Jalan Bukit seterusnya melalui Jalan Perpateh.
"Polis trafik dan jabatan pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuat rondaan dari semasa ke semasa di laluan tumpuan antaranya kawasan Rumah Rakyat Ulu Bendul, persimpangan pekan Tanjung Ipoh, persimpangan Ampang Tinggi, persimpangan Wisma MCA dab persimpangan Pekan Senaling,”katanya.
"Perkongsian maklumat juga akan dibuat melalui media di Facebook Info Trafik Rasmi Kuala Pilah-Seremban dan Twitter Info Trafik _KP atau hubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah di talian 06-48429999,” katanya.