KKMM tingkat inisiatif komunikasi Covid-19: Saifuddin

Iklan
KKMM sedang berusaha meningkatkan inisiatif-inisiatif komunikasi Covid-19 dengan tumpuan kini terhadap kualiti dan keberkesanan inisiatif yang dijalankan.

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang berusaha meningkatkan inisiatif-inisiatif komunikasi koronavirus (Covid-19) dengan tumpuan kini terhadap kualiti dan keberkesanan inisiatif yang dijalankan.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, inisiatif itu termasuk berkongsi data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung penularan tidak terkawal serta menjalankan tinjauan bagi memahami profil dan cabaran dihadapi setiap kelompok masyarakat yang terjejas oleh pandemik tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihaknya juga akan mengenal pasti faktor-faktor yang menimbulkan isu seperti keletihan/tekanan dan kealpaan bermusim; kurangnya atau ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP), ketidakfahaman tentang hakikat perlu hidup bersama dengan Covid-19, defisit kepercayaan dan ‘maklumat palsu’ serta kaedah menanganinya.

"(Inisiatif lain ialah) Meluaskan sebaran buku Pembudayaan Normal Baharu dalam Komuniti bagi Mencegah Penularan Covid-19 dalam bentuk e-book dan diperluas dalam media sosial,” katanya kepada Bernama.

Iklan

Semalam, Saifuddin dilaporkan berkata, keberkesanan inisiatif komunikasi yang telah dilaksanakan setakat ini agak baik, namun perlu dilipatgandakan dengan perancangan dan pelaksanaan lebih bersistematik.

Menurutnya, defisit kepercayaan terhadap agensi menangani Covid-19 merupakan antara cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan inisiatif komunikasi berkesan sehingga menyebabkan segelintir masyarakat tidak mematuhi SOP dan arahan kerajaan.

Iklan

Saifuddin berkata, inisiatif lain yang akan ditingkatkan ialah mengubah naratif daripada menjual ‘ketakutan’ kepada ‘harapan’ dan ‘kemajuan’; mengubah mesej daripada menekankan ‘hukuman’ kepada ‘positive re-enforcement’ dan menyediakan kandungan lebih kreatif.

Selain itu, menggunakan pendekatan penceritaan termasuk kisah kejayaan dan wira tak didendang, menyebarkan kesedaran dan pendidikan bersasar, menyediakan pelan komunikasi tentang vaksin serta meningkatkan dan memperkasakan kemampuan media sosial KKMM serta agensi-agensi kerajaan.

Katanya, tenaga sumber manusia KKMM di peringkat pusat, negeri dan daerah akan ditambah yang didedikasikan untuk langkah penghakupayaan komuniti selain mengoptimumkan kepimpinan dan komuniti akar umbi serta aset-aset kementerian seperti Pusat Internet Komuniti (PIK).

Tambahnya, kandungan Grand Stand"Selamat Pagi Malaysia” di RTM juga akan diperbaiki selain mengundang penerbit atau netizen menghasilkan video, dokumentari, drama, filem dan produk media sosial yang menarik pada kadar segera, melalui dana yang disediakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). - Bernama