Perkemas strategi jaga kesihatan mental petugas kesihatan

Iklan
SMSU memohon kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan memperkemas langkah dan strategi menjaga kesihatan mental petugas kesihatan yang kini berdepan cabaran getir susulan pandemik Covid-19. - Gambar hiasan

KOTA KINABALU - Kesatuan Perkhidmatan Perubatan Sabah (SMSU) memohon kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan memperkemas langkah dan strategi menjaga kesihatan mental petugas kesihatan yang kini berdepan cabaran getir susulan pandemik koronavirus (Covid-19).

SMSU amat menghargai langkah memberikan perkhidmatan kaunseling buat petugas kesihatan Sabah dan dari Semenanjung yang bertugas di negeri ini, namun langkah itu diharap dapat berjalan serentak dengan usaha menjaga kebajikan bagi memastikan petugas mampu melaksana tugas dengan berkesan.

Iklan
Iklan

Presiden SMSU, Ajulahin Japin berkata, pihaknya ada menerima laporan petugas kesihatan di negeri ini terpaksa bertugas syif 12 jam bagi mengekang pandemik itu, justeru tekanan dihadapi petugas berkenaan perlu diurus baik melalui sesi kaunseling dan mengimbangi beban kerja petugas tersebut.

"Kebanyakan kes kita lihat seorang didapati positif Covid-19 bukan hanya dia seorang sahaja malah orang sekeliling dan kontak rapat dia juga dikuarantin menyebabkan ini secara automatik tempat itu (kemudahan kesihatan) akan berlaku kekurangan petugas.

Iklan

"Petugas kurang, kerja terpaksa dibuat itu akan terlebih, ini akan menimbulkan tekanan buat petugas yang tinggal untuk meneruskan tugas. Justeru, perlu ada cara lebih berkesan untuk mengimbangi kekurangan petugas serta situasi lain menyebabkan petugas tertekan," katanya kepada Bernama.

Ajulahin berkata, kesihatan mental yang tidak dijaga dengan baik boleh menyebabkan kualiti kerja petugas kesihatan itu terjejas kerana kualiti kerja itu amat penting ketika berdepan situasi penularan Covid-19 pada masa ini.

Iklan

Penolong Setiausaha Agung SMSU Melvin Ebin Bondi berkata, terdapat tiga komponen penting yang boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental iaitu tekanan, kegelisahan dan kemurungan dan ini perlu dikesan awal dalam kalangan petugas kesihatan terbabit.

"Sekiranya ini tidak dikesan awal dan diurus baik atau tidak dijaga, boleh menyebabkan berlaku masalah mental yang lebih buruk. Masalah 'burn out' juga perlu kita jaga dalam kalangan petugas kerana sekarang kita terpaksa kerja lebih daripada masa kerja normal," katanya.

Beliau berterima kasih kepada kerajaan kerana melantik lebih ramai pegawai psikologi kontrak bagi memberi kaunseling kepada pesakit dan petugas, namun kontrak diberikan itu diharap diteliti terutama dari segi tempoh masa enam bulan kerana dikhuatiri situasi Covid-19 akan berterusan melebihi tempoh tersebut.

Katanya, pihaknya ada juga menerima aduan mengenai kebajikan daripada petugas kesihatan mengenai situasi pembekuan cuti dan isu pembayaran elaun yang perlu diambil tindakan segera bagi memastikan ia tidak mengganggu kesihatan mental petugas kesihatan.

Setiausaha Eksekutif SMSU, Laurence Vun pula berkata, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian RM500 sekali bayar (one-off) terhadap barisan hadapan dalam Belanjawan 2021, bagaimanapun memohon supaya proses pembayaran elaun terutama elaun lebih masa dapat diperkemas.

"Mereka penat terpaksa kerja 12 jam tetapi apabila lihat dalam akaun bank masuk bayaran seperti elaun lebih masa ini memberikan motivasi lebih untuk mereka, mereka ini juga manusia biasa lepas kerja penat-penat tengok tiada hasil diberikan susah juga mahu berikan motivasi.

"SMSU juga berusaha mendapatkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah meluangkan masa melakukan sidang video bersama petugas kesihatan kita untuk berikan motivasi, tetapi jika dapat datang jumpa kita dan buat sidang media di Sabah bersama petugas kita itu lagi baik," katanya.

Beliau berkata, di sebalik tekanan, kepenatan, 'burn out', kekurangan dan bahaya dihadapi petugas kesihatan melawan Covid-19 di negeri ini, mereka akan tetap berusaha sedaya mungkin menjaga rakyat kerana itu telah menjadi sebahagian daripada janji serta diri mereka sebagai seorang petugas kesihatan. - Bernama