Kedah sokong haramkan jualan arak di kedai runcit, serbaneka

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian hari ini.

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah menyokong usaha memperluaskan pengharaman jualan arak di kedai serbaneka dan kedai runcit mulai tahun depan seperti dibayangkan kerajaan Persekutuan.

Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia, Datuk Najmi Ahmad berkata, pendekatan tidak membenarkan jualan arak di dua jenis premis berkenaan sememangnya wajar disokong dalam usaha mengekang budaya negatif.

Iklan
Iklan

Katanya, tindakan dilaksanakan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur disifatkan usaha baik kerana bertepatan dengan aspek agama dan sosial, serta harus dicontohi.

"Kita kena lihat dari dua sudut, yang pertamanya agama yang mana arak sememangnya diharamkan disebabkan ia mampu merosakkan akhlak seseorang individu tersebut.

Iklan

"Keduanya, kita lihat dari sudut sosial kerana arak ini dilihat mampu menjejaskan keharmonian, ketenteraman dan sebagainya, contohnya kita dapati ada yang memandu dalam keadaan mabuk hingga mengakibatkan kejadian tidak diingini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan kerajaan Persekutuan yang membayangkan lebih banyak negeri akan memperluaskan pengharaman jualan arak di kedai runcit dan kedai serbaneka sepertimana dilakukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan tak tolak perluas pengharaman jualan arak

Tiga jenis premis dilarang jual arak

Dalam perkembangan sama, Najmi berkata, pihaknya turut berharap majikan lebih bertimbang rasa terhadap pekerja kedai runcit dan kedai serbaneka mereka yang terpaksa menjual arak.

"Kita perlu menghormati pegangan agama pekerja yang beragama Islam jika dia tidak rela menjual arak, jangan dipaksa dan bertimbang rasa lah, cari alternatif lain," katanya.

Hari ini, Sinar Harian melaporkan kerajaan Persekutuan membayangkan lebih banyak negeri akan mengikut jejak langkah Wilayah Persekutuan untuk tidak membenarkan penjualan arak di kedai runcit dan kedai serbaneka mulai tahun depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuki Shaary berkata, tindakan dilaksanakan Wilayah Persekutuan bertepatan dengan tuntutan agama dan tuntutan masyarakat itu sendiri.