KULAI - Pesawat ringan yang mendarat cemas di Kilometer 47.8 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan, pagi tadi dipercayai mengalami kerosakan enjin.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pesawat ringan jenis Beechcraft Bonanza N5045B itu milik persendirian.
Katanya, juruterbang dari Singapura, Dr Yang Kuang Ying, 52, sedang dalam rekod penerbangan rutin bagi melengkapkan jam penerbangan dari Lapangan Terbang Seletar, Singapura ke Lapangan Terbang Batu Berenam, Melaka.
"Juruterbang pertama Kuang Yin bersama juruterbang kedua, Saleehullah Abdul Majid, 41, sudah membuat pusingan pertama dan pesawat mendarat cemas di lokasi kejadian semasa pusingan kedua menuju ke Singapura.
"Pada pusingan kedua, mereka terpaksa mendarat cemas semasa berada di ketinggian 5,000 kaki di udara selepas juruterbang terdengar bunyi seperti enjin tiada minyak (kehilangan kuasa).
"Juruterbang cuba menukar tangki minyak tetapi enjin pesawat tidak berfungsi. Tekanan minyak menurun dengan pantas, mereka selamat mendarat cemas di lokasi kejadian," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis daerah Kulai, di sini hari ini.
Menurut Beng Yeow, hasil siasatan mendapati juruterbang terbabit mempunyai kebenaran (tidak perlu mendapatkan surat rentas negara atau negeri) untuk membuat penerbangan bagi mendapatkan jam penerbangan untuk rutin penerbangan biasa.
"Juruterbang terbabit merupakan juruterbang profesional serta berpengalaman selama 12 tahun dalam penerbangan serta mempunyai 480 jam penerbangan," katanya.
Tambah Beng Yeow, pesawat ringan terbabit sudah dialihkan ke kawasan lapang di tepi lebuh raya dan pihaknya menyerahkan kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) bagi siasatan lanjut dijalankan.
ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat ringan mendarat cemas, bukan terhempas
Dua juruterbang buat pendaratan cemas tidak cedera
Pesawat ringan mendarat cemas kerana masalah teknikal