PASIR MAS - Zon Bebas Cukai Rantau Panjang di sini yang dahulunya meriah dan menjadi tumpuan utama pelancong untuk membeli-belah kini menjadi seakan ‘pekan koboi’ sebaik Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan bermula semalam.
Tinjauan Bernama hari ini mendapati hampir separuh peniaga di premis atau kedai sedia ada membuat keputusan untuk tidak beroperasi kerana kekurangan pengunjung selain kebanyakan premis atau gerai kini hanya dijadikan sebagai stor menyimpan barang.
Meskipun kerajaan membenarkan aktiviti ekonomi diteruskan ketika tempoh ini, tetapi ia tidak menarik orang ramai untuk berkunjung sehingga rata-rata peniaga yang ditemui mengeluh kerana ada yang hilang punca pendapatan selain jualan harian terjejas sehingga tiga kali ganda namun mereka tetap akur dengan situasi semasa bagi mengelakkan penularan koronavirus (Covid-19).
Seorang pemilik gerai jualan makanan ringan, Asmawi Iberahim @ Mohd, 39, yang telah berniaga di pekan itu sejak 20 tahun lepas berkata, suasana muram ini berlaku sejak PKP pada Mac lagi, namun ia menjadi amat ketara sejak PKPB dilaksanakan dengan pengunjung berkurang secara mendadak dan hanya beberapa penduduk setempat yang kelihatan.
"Keadaan ketika ini amat memeritkan bagi peniaga di sini dan untuk mendapatkan pelanggan sekitar lima orang pun terlalu sukar. Ianya sekali gus menjejaskan pendapatan harian saya yang sebelum ini mampu mencecah sehingga lebih RM200 sehari namun kini sekitar RM50 hingga RM80 sahaja,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga kekacang, Azura Abdul Ghani, 24, berkata, dia turut mengalami nasib yang sama dengan jumlah pelanggan di Pekan Rantau Panjang boleh dikira dengan jari dan keadaan itu tentunya sukar bagi peniaga kecil sepertinya untuk kekal bertahan.
Sebelum ini media melaporkan, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memutuskan untuk melaksana PKPB di Kelantan mulai 21 November hingga 6 Disember berikutan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di beberapa daerah dan mukim di negeri ini. - Bernama