ALOR SETAR - Penduduk di Bandaraya Alor Setar dilihat mengambil kesempatan melakukan aktiviti bersama keluarga di luar rumah selepas berakhirnya tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kedah (kecuali daerah Kulim), malam tadi.
Tinjauan Sinar Harian di pusat beli-belah Aman Central, di sini hari ini mendapati pengunjung mulai ramai sekitar jam 12 tengah hari.
Rata-rata mereka dilihat membawa ahli keluarga menikmati makan tengah hari di restoran dan medan selera di pusat beli-belah terbabit.
Seorang peniaga di medan selera, Nor Amanina Aizam Azuri, 24, berkata, jumlah pengunjung pada hari ini sangat berbeza berbanding ketika Kedah masih dalam tempoh PKPB.
"Hari ini sudah nampak peningkatan pengunjung sejak dari pagi tadi, jika tidak sebelum ini dalam jam 2 petang baru ada orang, itu pun harapkan pekerja Aman Central yang makan tengah hari di sini.
"Alhamdulillah, ini satu perubahan positif buat kami para peniaga di sini, kalau nak harapkan semasa PKPB tempoh hari, bisnes agak perlahan, nak dapat balik modal pun susah," katanya yang menjalankan perniagaan nasi berlauk dari jam 10 pagi hingga 8 malam.
Seorang pengunjung dari Jejawi, Perlis, Noraini Don, 43, berkata, dia dan suami mengambil kesempatan membawa dua anaknya berjalan dan membeli-belah di sini selepas penduduk di Perlis dibenarkan merentas negeri ke Kedah.
"Kami memang selalu beli barang di sini, jadi bila Kedah kena PKPB, kami di Perlis pun tak boleh nak ke sini, duduk saja di rumah," katanya.
Menurutnya, walaupun sudah lama tidak membawa anak-anak bersiar namun dia sentiasa berwaspada dan mematuhi SOP yang ditetapkan.
"Nak beriadah atau membeli belah itu boleh, tapi jangan lupa jaga diri dan patuhi SOP. Selalu kami sekeluarga datang ke Aman Central saja, lepas itu terus balik ke rumah," katanya.
Kelmarin, kerajaan bersetuju menamatkan PKPB di negeri Kedah, Melaka, Johor dan Terengganu mulai malam tadi.
Bagaimanapun, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beberapa daerah masih diletakkan di bawah PKPB iaitu di Kulim, Kedah, dan Mersing serta Kota Tinggi di Johor.