KUALA KRAI - Dua pondok kayu hiasan yang berlatar belakangkan air terjun terkenal Gunung Stong di Dabong di sini berada dalam keadaan terbalik semalam dipercayai angkara perbuatan khianat.
Kejadian disedari penduduk kampung di destinasi pelancongan terkenal itu pada jam 7.30 pagi.
Penduduk, Wan Zonnum Al Masri, 24, berkata, dia mendapat maklumat mengenai kejadian itu daripada penduduk sekampung yang memberitahu melihat pondok itu masih berada pada kedudukan asal ketika melalui jalan itu pada jam 5.30 pagi.
Bagaimanapun, katanya, pondok itu dilihat terbalik ketika dia melalui semula lokasi berkenaan kira-kira dua jam kemudian iaitu pada jam 7.30 pagi.
"Saya pergi ke lokasi petang semalam dan tengok kedua-dua pondok yang diletakkan oleh pihak Majlis Daerah Dabong baru-baru ini dalam keadaan terbalik ke tanah.
"Papan tanda bertulis Gunung Stong yang baru dibina bagaimanapun dalam keadaan baik. Tidak pasti bagaimana berlaku tetapi seperti ada yang menterbalikkan pondok itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari
Wan Zonnum yang juga pemandu pelancong berkata, pondok kayu tersebut diletakkan di laluan untuk menuju ke Gunung Stong.
"Lokasi itu amat cantik untuk merakam gambar kerana boleh nampak air terjun dari gunung,” katanya.
Sementara itu, kejadian itu turut mendapat perhatian Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin yang berkongsi gambar kejadian berkenaan dalam Facebook beliau.
Izani turut meminta polis menyiasat sekiranya terdapat unsur khianat.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad dalam pada itu mengesahkan menerima laporan yang dibuat Majlis Daerah Dabong semalam berhubung kejadian itu.
"Dua pondok kayu tersebut dibeli dengan harga RM10,000 manakala kejadian itu mengakibatkan kerosakan pada atap pondok berkenaan dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM4,000 bagi kos membaiki.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat,” katanya.