MELAKA TENGAH - Mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 496 orang pada jam 8 malam ini berbanding 474 orang pada jam 4 petang tadi.
Menurut aplikasi infoBencanaJKM, peningkatan itu itu disebabkan pertambahan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek di Melaka Tengah dan SK Durian Tunggal, Alor Gajah.
Iklan
Iklan
PPS Ayer Molek sebelum ini menempatkan 93 mangsa (16 keluarga), namun meningkat kepada 100 mangsa (29 keluarga), manakala PPS SK Durian Tunggal pula dihuni 71 mangsa (15 keluarga) berbanding 56 mangsa (13 keluarga) pada petang tadi.
Sementara itu, di Jasin, jumlah mangsa banjir kekal dengan SK Tehel menempatkan 125 mangsa (30 keluarga), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shuh Yen melibatkan 61 mangsa (16 keluarga) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil mempunyai 122 mangsa (52 keluarga).
Sebanyak enam PPS dibuka di tiga daerah di negeri ini sejak banjir mula melanda Jumaat lalu. - Bernama