KUALA LUMPUR - Persatuan peniaga Cina memohon kerajaan mempertimbangkan semula keputusan muktamad larangan penjualan arak di tiga jenis premis seperti kedai runcit, kedai serbaneka dan ubat Cina susulan daripada keputusan yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini.
Pengerusi Persatuan Peniaga Minuman Keras Cina Selangor dan Kuala Lumpur, Kenny Yeo Seen Kwang berkata, keputusan itu dilihat menjejaskan ekonomi peniaga di premis berkenaan.
Menurutnya, peniaga runcit dan ubat Cina kini sudah mengalami penurunan jualan pendapatan akibat penularan pandemik Covid-19.
"Langkah itu tidak hanya merugikan perniagaan, malah mengurangkan pendapatan cukai kerajaan.
"Bahkan, penguatkuasaan yang melarang kedai runcit menjual minuman arak juga membawa kesan daya saing mereka berbanding dengan pasar raya yang mempunyai lebih banyak barangan untuk pilihan pengguna,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Kenny Yeo berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula keputusan larangan di tiga premis berkenaan agar peniaga dapat meneruskan perniagaan.
"Kami memohon agar pihak berkuasa boleh mempertimbangkan cadangan dan pendapat kami demi kebaikan pengguna dan peniaga.
"Dari segi operasi dan pelaksanaan penjualan arak, kami akan mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan sebelum ini,” katanya.