TUMPAT - Dianggarkan sebanyak 4,000 kenderaan merentas daerah dari Kota Bharu ke Tumpat ketika waktu puncak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan di Kelantan sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, jumlah kenderaan sehala dari Kota Bharu masuk ke daerah itu di Pasir Pekan bermula jam 5 petang sehingga jam 7 malam.
"Dalam tempoh itu, kira-kira 4,000 kenderaan menggunakan laluan tersebut secara sehala yang kebanyakannya pulang dari tempat kerja di Kota Bharu.
"Berlaku kesesakan ketika itu dan tumpuan diberi untuk penugasan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Pasir Pekan ini dengan lapan anggota ditempatkan di SJR itu dalam tempoh berkenaan,” katanya ketika ditemui di SJR Pasir Pekan di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya difahamkan penugasan ketika PKPB turut akan mendapat bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam masa terdekat.
"Penugasan kini dibantu Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) dan pihak berkuasa tempatan selain akan ditambah mengikut keperluan semasa,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Kelantan menerima 3,000 permohonan rentas daerah termasuk di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat sejak pengumuman penguatkuasaan PKPB petang Jumaat lalu sehingga kini.
Menurutnya, IPD Tumpat dan Balai Polis Wakaf Bharu mencatatkan bilangan permohonan paling tinggi berbanding balai polis lain dalam daerah terbabit.
"Pemohon memberikan pelbagai alasan bagi permohonan rentas daerah dan kebanyakannya membabitkan urusan kerja seharian.
"Ada yang menyatakan tujuan ingin membeli barang dapur di pasar raya di Kota Bharu yang terletak betul-betul di sempadan dengan alasan sudah biasa berurusan di pasar berkenaan. Polis meluluskan permohonan memandangkan itu keperluan,” katanya.
Ab Rashid berkata, penugasan PKPB pihaknya mengikut penyelarasan yang dibuat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).