NASIB barisan pemain termasuk ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan sama ada akan disambung kontrak atau tidak akan diketahui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) minggu depan.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, perbincangan pada mesyuarat itu juga akan membincangkan mengenai hala tuju Melaka United musim depan termasuk pengurusan kelab bola sepak (FC) pasukan tersebut.
"Dalam mesyuarat tersebut akan menentukan pelantikan jurulatih, pengurusan kelab dan sebagainya. Apabila dah ada jurulatih, kita akan bincang pula mengenai status para pemain.
"Jadi segala-galanya akan diputuskan minggu depan dalam mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Presiden MUSA yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Mengulas mengenai jawatan jurulatih, Mohd Yusoff mengesahkan pihak MUSA menerima beberapa permohonan daripada individu yang berminat mengendalikan Melaka United musim depan.
Tanpa mendedahkan senarai calon terbabit, Mohd Yusoff menjelaskan, nama Zainal Abidin yang telah membimbing Melaka United sejak 2019 tetap berada dalam senarai pencalonan jurulatih tersebut.
"Jadi Jawatankuasa Pemilihan MUSA akan membuat pemilihan nanti. Kalau mesyuarat membuat keputusan Zainal Abidin perlu dikekalkan, maka kita kekalkan. Jika mereka rasa kena ada jurulatih baharu, maka kami akan lantik jurulatih baharu.
"Kami akan membuat penilaian dan penelitian terlebih dahulu dan segala keputusan yang dibuat sudah tentulah untuk kebaikan pasukan,” katanya yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Dalam pada itu, beliau memberitahu, MUSA sedang melakukan perbincangan dengan beberapa penaja yang telah menyatakan kesudian untuk menaja Melaka United musim depan.
"Dari segi perbelanjaan Melaka United musim depan juga akan diputuskan dalam mesyuarat itu nanti sebab kita kena lihat dan tetapkan hala tuju pasukan terlebih dahulu.
"Namun, saya difahamkan beberapa perbincangan sedang berlangsung dengan pihak penaja tetapi belum dimuktamadkan. Kami mengharapkan agar ia dapat mencapai kata sepakat dalam masa terdekat,” jelasnya.