Vaksin tingkat imuniti sistem badan, kata pakar virologi

Iklan
Vaksin adalah mencegah jangkitan kerana ia meningkatkan imuniti sistem badan untuk melawan penyakit atau sekiranya terkena jangkitan, gejalanya hanya sederhana. Gambar kecil: Dr Sazaly.

SHAH ALAM – Vaksin bukan untuk merawat jangkitan sebaliknya adalah bagi mencegah atau melindungi individu daripada terkena penyakit berjangkit terbabit.

Pakar virologi dari Universiti Malaya, Profesor Dr Sazaly Abu Bakar berkata, vaksin pandemik koronavirus (Covid-19) yang dijangka diterima tahun hadapan digunakan untuk meningkatkan imuniti sistem badan bagi melawan penyakit.

Iklan
Iklan

"Pengambilan vaksin adalah untuk mencegah jangkitan kerana ia meningkatkan imuniti sistem badan untuk melawan penyakit atau sekiranya terkena jangkitan, gejalanya hanya sederhana.

"Apa pun cara merawat paling berkesan hanyalah melalui ubat kerana ia boleh melawan serta membunuh virus terbabit.

Iklan

"Timbul isu apabila masyarakat masih keliru dan salah anggap yang vaksin ini digunakan untuk merawat dan perkara ini kita kena betulkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Dr Sazaly berkata, keberkesanan vaksin itu perlu menjadi keutamaan sebelum ia secara rasmi boleh diguna pakai.

Iklan

"Pelbagai proses penilaian perlu diambil kerajaan sebelum memperoleh vaksin daripada syarikat pengeluar vaksin Covid-19.

"Kebiasaannya, proses pembangunan vaksin mengambil tempoh masa 10 hingga 15 tahun. Jadi vaksin untuk Covid-19 ini unik kerana perlu dipercepatkan.

"Penghasilan vaksin itu mungkin mengambil masa sehingga kurang daripada setahun. Jadi, banyak benda baharu yang perlu kita lakukan,” katanya.

Vaksin untuk Covid-19 disifatkan sebagai unik kerana proses penghasilannya dipercepatkan berbanding vaksin lain yang memakan masa 10 hingga 15 tahun.

Katanya, perkembangan itu belum menjanjikan 100 peratus keberkesanan berikutan banyak perkara perlu disahkan terlebih dahulu.

"Paling penting aspek keselamatan kerana kerajaan perlu memastikan ia selamat dan berkesan selain kapasiti yang boleh diperoleh berikutan seluruh dunia mengharapkan vaksin untuk menyembuhkan vaksin Covid-19.

"Setakat ini, belum ada data yang menunjukkan keberkesanan vaksin itu kepada umum,” katanya.

Jelas Dr Sazaly, cara terbaik mengakhiri Covid-19 adalah dengan membangunkan ubat dan vaksin.

Katanya, Malaysia perlu mengorak langkah membangunkan sendiri ubat dan vaksin sebagai persiapan untuk menghadapi kurangnya ketersediaan bekalan penawar ketika wabak kembali melanda pada masa hadapan.

"Seeloknya ada projek pembangunan vaksin dan ubat kita sendiri. Tetapi kerajaan tidak mahu melabur dalam sektor itu.

"Tidak seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam yang mempunyai kebolehan membangunkan vaksin mereka sendiri,” katanya.

Jadi katanya, bila kita mempunyai pembangunan ubat dan vaksin sendiri, kita boleh mengikut acuan sendiri dan bersesuaian dengan persekitaran dan masyarakat.

"Kerajaan sepatutnya ada kesedaran dalam hal itu dan perlu memperuntukkan dana bagi pembangunan vaksin dan ubat di negara kita.

"Bukan sekadar laburkan duit semata-mata untuk beli vaksin, sebaliknya bangunkan sendiri agar kita bersedia jika timbul pandemik lain pada masa akan datang,” katanya.