KL Thunder sambut baik pelan PSM

Iklan
Aksi Divisyen Premier STL 2020 ditangguhkan pada minggu keempat bulan lalu. -Foto FB SepakTakraw League

KUALA Lumpur (KL) Thunder menyambut baik perancangan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) untuk menyambung semula Divisyen Premier Liga Sepak Takraw (STL) 2020 sebaik tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur berakhir.

Pengurus KL Thunder, Zambri Abdul Rahman berkata, pihaknya mengalu-alukan pelan alternatif yang dirancang PSM bagi 'menyelamatkan' saingan STL 2020 daripada terus dibatalkan ekoran penularan pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

"Jika ditanya mengenai status penganjuran STL ketika ini, kami memang berharap ia dapat disambung semula selepas PKPB dan berlangsung di Kuala Lumpur seperti sebelum ini.

"Ini kerana kebanyakan pasukan sudah membuat persiapan rapi bagi menghadapi STL tahun ini. Tetapi kita semua tidak boleh berbuat apa-apa dalam situasi tidak menentu Covid-19 sekarang.

Iklan

"Saya percaya semua pemain dan pasukan yang bertanding tidak mahu situasi sebegini terjadi. Apa pun kita akan tunggu apa perkhabaran terbaharu yang akan dibuat PSM nanti,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Minggu lalu, Presiden PSM, Datul Seri Ahmad Ismail memaklumkan, pihaknya tidak berhasrat untuk membatalkan STL 2020 di sebalik ketidaktentuan krisis Covid-19 yang melanda negara sejak Mac lalu.

Iklan

Sebaliknya, Ahmad memberitahu, PSM sedia menyambung semula aksi Divisyen Premier STL 2020 yang tertangguh sebaik memasuki saingan minggu keempat sekiranya kerajaan tidak melanjutkan tempoh PKPB di Kuala Lumpur.

Mengikut perancangan terbaharu PSM, saingan minggu keempat Divisyen Premier STL 2020 akan kembali berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur mulai 9 hingga 26 Disember depan.

Pada masa sama, PSM juga bersedia dengan sebarang kemungkinan untuk menyambung saingan di luar Lembah Klang khususnya negeri-negeri yang dianggap zon hijau dan tidak dikenakan PKPB.

Mengulas lanjut, Zambri memberitahu, KL Thunder sedia beraksi di mana-mana venue yang ditetapkan PSM jika gelanggang di Stadium Titiwangsa masih tidak dapat dibuka akibat pelaksanaan PKPB.

"Kami juga sambut baik peraturan ditetapkan PSM untuk menambah bilangan pemain dalam pasukan. Ia memberikan sedikit kelegaan kerana sepanjang tempoh PKPB ini, kami tidak melakukan sebarang aktiviti,” ujarnya.

Selepas berakhir minggu ketiga Divisyen Premier STL 2020, KL Thunder yang dibarisi pemain kebangsaan seperti Azlan Alias dan Syahir Rosdi muncul pendahulu apabila mengekalkan rekod bersih tujuh perlawanan tanpa kalah.