KKMM tingkatkan kualiti bersama komuniti

Iklan
Saifuddin Abdullah

SHAH ALAM - Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) berusaha melipatgandakan inisiatif komunikasi dengan meningkatkan kualiti bersama komuniti menggunakan pendekatan penghakupayaan komuniti.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, persoalan komuniti hari ini penting dan perlu diberi kefahaman baharu terutama wujud dua komuniti, iaitu Komuniti Setempat dan Komuniti Digital.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Komuniti Setempat ialah mereka yang tinggal atau bekerja secara fizikal di sesuatu kawasan manakala Komuniti Digital ialah berada secara fizikal dan digital di sesuatu kawasan itu dalam pelbagai bentuk komuniti digital secara dalam talian dan menggunakan media sosial.

Menurutnya, Komuniti Setempat peringkat akar umbi perlu diberikan suntikan baru kerana negara memang sejak lama perlu memperkasa kepimpinan pada peringkat ketiga iaitu kerajaan tempatan, daerah dan akar umbi yang dapat menyuburkan partisipasi rakyat dalam amalan demokrasi yang lebih matang.

Iklan

"Komuniti Digital pula berkaitan kawasan tertentu wujud dalam talian, contohnya melalui Facebook Group, Whatsapp Group, Telegram Group dan sebagainya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya, @saifuddin61.

Katanya, semua pihak perlu bekerja lebih keras membangun komuniti yang berkemahiran digital dan berinteraksi secara digital.

Iklan

"Ia merupakan sumber tenaga untuk kemajuan negara dan untuk berdaya saing dengan negara-negara lain pada hari ini dan masa depan khususnya dalam konteks industri-industri masa depan.

"Dalam hal ini, di samping perlunya disegerakan penyempurnaan kesalinghubungan internet dan kemampuan komuniti komuniti juga perlu digalakkan menyertai dunia digital, penguasaan teknologi terkini, keselamatan siber dan keanggotaan yang positif dalam pelbagai bentuk komuniti digital,” katanya.

Beliau berkata, KKMM berperanan membina ekosistem komuniti digital dengan mempercepatkan migrasi ke dunia digital bagi mereka yang belum menceburinya dan meningkatkan kemahiran digital bagi mereka yang telah menceburinya serta meningkatkan lagi pencapaian digital bagi mereka yang telah memiliki kemahiran.

"KKMM juga berperanan melonjakkan sepenuhnya bakat tempatan, melaksanakan program ‘Masyarakat Pintar’, menyedarkan komuniti mengenai ‘disinformation’ dan keselamatan siber dan mengaktifkan keanggotaan dalam Komuniti Digital,” katanya.

Saifuddin berkata, KKMM akan mengoptimumkan penggunaan 1,101 buah Pusat Internet Komuniti (PIK) yang terdapat di setiap daerah di seluruh negara.

"Kementerian juga akan mengakar-umbikan peranan agensi-agensi KKMM seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MYNIC dan Cyber Security Malaysia (CSM),” katanya.