MANCHESTER United dilihat tidak mempunyai naluri 'pembunuh' selepas hanya mampu mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas West Bromwich Albion dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford semalam.
Pemain tengah United, Nemanja Matic berkata, United perlu beraksi lebih tajam dan cuba mencari lebih banyak gol bagi mengelakkan keciciran mata jika pasukan lawan bangkit dalam minit-minit akhir perlawanan.
"Ketika kami berjaya menjaringkan gol pertama, kami harus terus bergerak ke hadapan dan cuba menamatkan perlawanan lebih awal. Ia sangat penting terutama dalam saingan EPL.
"Setiap pasukan lawan memiliki kualiti dan berbahaya. Jadi jaringan satu gol tidak cukup, malah West Brom juga hampir mencetak gol dan peluang mereka ada yang terkena palang.
"Jika tidak, mungkin kami hanya memperoleh satu mata daripada perlawanan tersebut. Kami perlu mengubah corak permainan dan lebih tajam di depan gol dalam perlawanan akan datang," katanya.
Dalam pada itu, Matic juga percaya United mendapat suntikan semangat apabila berjaya mencatatkan kemenangan pertama di gelanggang sendiri musim ini.
"Kami bermula sukar musim ini dengan keputusan yang kurang baik. Banyak perkara yang kami tingkatkan dari semasa ke semasa dan sekarang kami berada pada tahap yang berbeza.
"Bagaimanapun, sudah tentu kami perlu lebih fokus dalam menyerang dan mengelakkan masalah ketumpulan di depan gol berulang," katanya.