RANTAU PANJANG - Aplikasi ‘Messenger Facebook’ menjadi platform perantaraan buat pasangan orang kurang upaya (OKU) cacat pendengaran dan bisu menjalinkan hubungan cinta 'senyap’ antara mereka.
Selepas hampir empat bulan berkenalan melalui platform itu, Mohd Zulkarnain Zahari, 29, dari Kampung Dewan Beta, Kota Bharu dan Siti Zahanis Zakaria, 21, dari Repek, di sini memilih untuk menoktahi hubungan cinta 'senyap’ itu menerusi ikatan perkahwinan.
Iklan
Iklan
Pasangan OKU itu disatukan dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Mukim Repek dan dinikahkan Imam I Masjid Mukim Kampung Repek, Othman Ahmad.
Dengan sekali lafaz menggunakan bahasa isyarat Mohd Zulkarnain sah menjadi suami kepada Siti Zahanis.
Mohd Zulkarnain dengan bantuan jurubahasa isyarat berkata, dia mula berkenalan dengan isterinya itu menerusi media sosial berkenaan awal Oktober lalu.
"Saya sama sekali tak sangka perkenalan itu membibitkan rasa cinta antara kami. Selepas itu saya buat keputusan yang paling besar dalam hidup iaitu menamatkan zaman bujang untuk berkahwin dengan Siti Zahanis.
"Saya memilih Siti Zahanis selepas terpikat dengan budi bahasa dan kelembutan yang ada pada diri isterinya itu,” katanya.