Anwar persoal had masa 20 minit sesi soal jawab

Iklan
ANWAR

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan had masa 20 minit bagi sesi soal jawab menteri dalam sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2021) selepas Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azizan Azhar Harun memaklumkan perkara itu bagi menjawab soalan yang diajukan kepada kementerian masing-masing.

Anwar (PH-Port Dickson) meminta had masa itu dilanjutkan dan mencadangkan peraturan yang hanya membenarkan 80 ahli Parlimen berada di dalam dewan ditarik balik.

Iklan
Iklan

"Saya memohon kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memberi sedikit kelonggaran membenarkan lebih 80 ahli Parlimen masuk ke dewan bagi mendengar dan turut serta dalam pengulungan menteri ke atas Perbahasan Belanjawan 2021 peringkat dasar.

"Masa yang diberikan hanya 20 minit bagi menteri menggulung adalah tidak munasabah.

Iklan

"Kita hidupkan Parlimen dengan membahas, mencelah, mempertikai dan mempersoal jawapan menteri. Perkara ini tidak mungkin berlaku dalam masa 20 minit. Jika ini tidak dibenarkan, maka lebih baik kita duduk rumah tunggu jawapan menteri saja," katanya.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang turut menyatakan sokongan terhadap Anwar dan menggesa Azhar mempertimbangkan kembali peraturan tersebut.

Iklan

Susulan itu Azhar berkata, beliau akan memanggil sekali lagi ketua dan whip parti untuk membincangkan perkara itu selain sedikit kecewa mengapa permintaan itu tidak disampaikan sebelum sidang hari ini.

Namun Speaker kemudiannya menegaskan ucapan penggulungan membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kerja Raya hari ini sebagaimana dijadualkan.