Ronda tiga jam sekali pantau banjir

Iklan
Azhar Elmi memberikan nasihat kepada kanak-kanak yang sedang bermain air di Kampung Tasek, Tok Kundor, Bukit Awang, Pasir Puteh ketika membuat tinjauan di kawasan tersebut.

PASIR PUTEH - Pasukan Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh melakukan rondaan setiap tiga jam sekali di kawasan hotspot banjir di seluruh jajahan ini bagi memantau paras air sungai di kawasan yang berpotensi banjir pada musim tengkujuh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, rondaan sejak 17 November lalu membabitkan lapan kawasan iaitu Kampung Daram Buaya, Tok Kundor, Gong Chokoh, Saring, Tok Sudin, Gong Tengah, Sungai Kelong dan Kedai Menanti.

Iklan
Iklan

Menurutnya, rondaan juga bertujuan memastikan anggota bomba mengenal pasti bentuk muka bumi di kawasan terlibat supaya operasi memastikan operasi menyelamat dan memindahkan banjir berjalan lancar.

"Kita mahu semuanya dilakukan dengan sistematik selain mengikut prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19," katanya selepas melakukan tinjauan paras air di Kampung Tasek, Tok Kundor, Bukit Awang di sini hari ini.

Iklan

Azhar Elmi berkata, seramai 63 anggota bomba di balai bomba itu sudah bersiap sedia untuk berdepan musim tengkujuh tahun ini dengan normal baharu.

Katanya, sebagai permulaan dalam memutuskan rantaian Covid-19 bantuan makanan dan keperluan harian akan dihantar kepada mangsa sekiranya paras air sungai meningkat.

Iklan

"Jika keadaan menjadi lebih serius operasi memindahkan mangsa banjir akan terus digerakkan dengan kadar segera," katanya.

Sementara itu penduduk, Rohani Hamzah,50, dari Kampung Tok Kundor menyambut baik usaha pasukan bomba itu yang melakukan rondaan secara berkala itu.

Katanya, rondaan itu memberikan keyakinan kepada penduduk untuk berdepan musim tengkujuh ketika negara sedang diuji dengan pandemik Covid-19.

"Saya dan keluarga sudah membuat persiapan sejak awal November lalu tetapi masih berharap tidak berlaku banjir tahun ini kerana masyarakat bimbang dengan penularan Covid-19," katanya.