SUBANG JAYA - [DIKEMASKINI] Sindiket bagi merekrut keldai dadah dilaporkan aktif menjalankan kegiatan berkenaan di negara ini.
Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan siasatan Jenayah Narkotik, Deputi Komisioner Zulkifli Ali berkata, polis mengesan kegiatan itu berdasarkan kejayaan tangkapan keldai dadah di luar negara dan mereka mengaku direkrut di negara ini.
Menurutnya, awal minggu lalu polis juga menumpaskan sindiket merekrut rakyat Malaysia menjadi keldai dadah di Negeri Sembilan.
"Terdapat dua bentuk keldai dadah di negara ini yang pertama keldai dadah menyeludup dadah dari Malaysia ke luar negara.
"Yang kedua adalah keldai dadah di arah ke luar negara untuk mengambil dadah kemudian diseludup ke negara ketiga," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, hari ini.
Zulkifli berkata, berdasarkan statistik polis, tahun lalu terdapat peningkatan jumlah tangkapan keldai dadah melibatkan rakyat Malaysia.
"Tahun lalu di Hong Kong sahaja, seramai 23 orang keldai dadah Malaysia ditahan.
"Ada juga keldai dadah ditahan di Korea dan Australia dan jumlahnya juga tinggi," katanya.
Zulkifli berkata, bayaran ditawarkan kepada keldai dadah sekitar RM5,000 ke RM10,000 setiap perjalanan menyeludup dadah.
"Dan berdasarkan soal siasat ke atas keldai dadah kebanyakannya mereka tahu pekerjaannya adalah membawa dadah.
"Keldai dadah rata-ratanya terlibat dengan kegiatan ini kerana faktor bayaran lumayan yang ditawarkan dan sikap tamak dalam diri mereka" katanya.
Awal bulan lalu, lapan rakyat Malaysia ditahan polis Korea selepas cuba menyeludup dadah jenis syabu bernilai kira-kira 44 bilion won (RM161.87 juta) ke negara itu.
Pertengahan Januari, dua rakyat Malaysia termasuk seorang kru kabin syarikat penerbangan Malindo Air ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne, Australia selepas dipercayai menyeludup dadah ke negara itu.